AirAsia terbang tiga laluan baharu

AirAsia terbang tiga laluan baharu

SEPANG, 10 Jan (Bernama) – AirAsia Bhd akan melancarkan tiga laluan antarabangsa baharu dari Kota Kinabalu, Langkawi dan Pulau Pinang pada bulan ini. Ia akan memulakan penerbangan langsung dari Kota Kinabalu ke Wuhan pada 22 Jan, Langkawi-Guangzhou (24 Jan) dan Pulau Pinang-Ho Chi Minh (25 Jan), kata Ketua Komersialnya Spencer Lee.

“Tahun ini merupakan tahun yang menarik dan Januari adalah bulan yang sibuk bagi kami dengan laluan baharu memulakan operasi hariannya. Kami sangat yakin AirAsia akan terus bertumbuh dan kekal mencatat keuntungan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan 14 peserta Malaysia dalam Cabaran Ulang Tahun AirAsia bersempena sambutan ulang tahun ke-14 syarikat penerbangan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini hari ini.

Bersempena pelancaran laluan baharu itu, AirAsia menawarkan tambang promosi merangkumi semua dari serendah RM88 sehala menerusi airaisa.com untuk perjalanan dari Jan 22 hingga 29 Okt tahun ini.

Mengenai pertandingan, peserta yang berpasangan dengan selebriti tempatan perlu menyelesaikan pelbagai tugas dan misi seperti mengambil gambar diri sendiri atau ‘selfie’ dan cabaran membeli-belah di sekitar gateway@klia2 yang turut menguji daya ketahanan masing-masing kerana pertandingan itu berbentuk lumba lari.