AirAsia terima 3 anugerah berprestij

AirAsia terima 3 anugerah berprestij

MAGHRIBI, 13 Dis – Kumpulan Syarikat AirAsia, yang baru-baru ini menyambut ulang tahunnya yang ke-14 telah menerima tiga pengiktirafan berprestij di World Travel Awards, dengan memenangi anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia (World’s Leading Low Cost Airline) bagi tahun ketiga berturut-turut dan buat julung kali bagi Laman Web Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia (World’s Leading Low Cost Airline Website) dan Aplikasi Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia (World’s Leading Low Cost Airline App).

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar yang mewakili Kumpulan Syarikat AirAsia menerima anugerah-anugerah tersebut di majlis Gala World Travel Awards 2015.

World Travel Awards berfungsi untuk mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan dalam semua sektor industri pelancongan global; juga dikenali di peringkat global sebagai penanda aras kualiti dengan lebih 650,000 undian oleh para profesional di bidang pelancongan dan pelanggan pelancongan mewah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes dalam satu kenyataan berkata, “Seiring dengan usaha kami ke arah penambahbaikan berterusan dalam kecemerlangan perkhidmatan, ketiga-tiga anugerah ini, terutamanya pengiktirafan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi tahun ketiga berturut-turut adalah amat bermakna. Kami juga teruja untuk dicalonkan dalam kategori Krew Kabin Terbaik Dunia (World’s Leading Cabin Crew).

Aireen Omar (empat, kanan) mewakili Kumpulan Syarikat AirAsia menerima anugerah-anugerah tersebut di majlis Gala World Travel Awards 2015.
Aireen Omar (empat, kanan) mewakili Kumpulan Syarikat AirAsia menerima anugerah-anugerah tersebut di majlis Gala World Travel Awards 2015.

“Tahun ini merupakan tahun yang mencabar tetapi saya amat berbangga dengan pasukan saya yang bersatu dan bekerja keras untuk menjadi lebih baik dan belajar dari segala pengalaman.

“Ini adalah bukti sebenar kepada usaha kami untuk mengukuhkan perkhidmatan dan rangkaian penerbangan, di samping beberapa peningkatan lain yang dilakukan pada laman web dan aplikasi mudah alih kami. Kami lebih komited untuk terus meningkatkan kualiti servis khidmat pelanggan dan terus berusaha melangkaui aspirasi pengalaman penerbangan bagi tetamu kami.” ujarnya.

AirAsia juga baru-baru ini mencipta sejarah, mengalahkan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dan memenangi anugerah Krew Kabin Terbaik Asia di World Travel Awards (Asia & Australasia) Gala 2015.

Syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun telah menerbangkan lebih daripada 300 juta penumpang dalam tempoh kurang daripada 14 tahun beroperasi, melalui rangkaian laluan luas yang merentasi lebih 100 destinasi di 22 buah negara.

ARTIKEL YANG SAMA