AirAsia terima pengiktirafan

AirAsia terima pengiktirafan

KOTA KINABALU, 23 Nov – AirAsia telah diiktiraf dengan Anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik dan Anugerah Khas Menteri pada Anugerah Pelancongan Sabah 2015 yang diadakan baru-baru ini.

Hadir menyerahkan anugerah tersebut ialah Menteri Pelancongan Budaya dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar.

Anugerah kategori ‘Syarikat Penerbangan Terbaik’ mengiktiraf syarikat penerbangan yang menyumbang terhadap industri pelancongan Sabah daripada segi jaringan perhubungan dan membawa jumlah pelancong tertinggi ke Sabah sepanjang jumlah dua tahun lepas.

Sementara, ‘Anugerah Khas Menteri’ diberikan kepada AirAsia atas langkah berani syarikat tersebut meningkatkan jaringan perhubungan ke Sabah dengan penerbangan antarabangsa dan domestik dengan 23 destinasi setakat ini, memaksimakan kedudukan geografi Sabah yang membolehkan para pelancong meneroka tempat-tempat menarik bertaraf dunia di Sabah, selain mencari peluang perniagaan di Sabah.

Aireen Omar dalam satu kenyataan dipetik sebagai berkata, “terima kasih Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan pegawai-pegawai di Badan Pelancongan Sabah kerana mengiktiraf kerja keras dan sumbangan kami terhadap negeri Sabah dengan dua anugerah berprestij ini.

Datuk Seri Panglima Masidi Manjun ketika menyampaikan anugerah kepada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad.
Datuk Seri Panglima Masidi Manjun ketika menyampaikan anugerah kepada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad.

“Kami telah melabur atas pembangunan Sabah yang menjadi hab utama AirAsia dan kami berbesar hati usaha kami diiktiraf dengan jumlah yang semakin meningkat”.

“Kami mempunyai rancangan yang besar buat Sabah dan kami ingin melihat jumlah penumpang ke Sabah meningkat dari tiga juta setahun ke sekurang-kurannya 12 juta setahun.”

Aireen Omar kemudian menegaskan bahawa AirAsia yakin jumlah tersebut boleh dicapai dan tidak mustahil dengan mempunyai terminal penerbangan tambang rendah di Kota Kinabalu, Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi hab utama di rantau ini.

AirAsia telah membawa lebih 8.4 juta penumpang ke Kota Kinabalu dan buat masa ini mempunyai 698 penerbangan mingguan menuju dan dari Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan di Sabah.

Syarikat penerbangan ini juga telah menyaksikan jumlah penumpang yang meningkat dari rantau Asia dan Australia yang ke Kota Kinabalu dengan perkhidmatan AirAsia Fly-Thru.

Bangkok, Beijing, Shanghai dan Perth adalah antara bandar utama dengan jumlah pelancong yang berhubung ke Sabah sepanjang tahun lepas, dan AirAsia buat masa ini mempunyai 24 laluan Fly-Thru ke Kota Kinabalu, memberikan akses mudah bagi para pelancong di rantau ini ke negeri Sabah.