AirAsia terus inisiatif #GREEN24

AirAsia terus inisiatif #GREEN24

SEPANG, 15 Jan – AirAsia meneruskan inisiatif kesedaran alam sekitarnya dengan tema #GREEN24 yang julung kali dilancarkan November lalu dengan gerakan kesedaran alam sekitar 24-jam bagi mendidik dan mempromosi kesedaran terhadap perubahan iklim, sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat syarikat penerbangan itu di rantau ASEAN.

Syarikat penerbangan itu telah mengeluarkan satu video jemputan khas oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes menjemput orang ramai untuk menjadi lebih proaktif dalam melindungi alam sekitar dan bumi. Dalam video ini, yang boleh ditonton di saluran Youtube AirAsia, Tony Fernandes berkata, “Dirantau ini, tidak ramai tahu mengenai isu-isu yang timbul akibat perubahan iklim. Justeru, kami berpendapat bahawa cara yang terbaik adalah dengan memberitahu orang ramai mengenai isu ini.

Ramai di antara kita tidak menyedari kesan daripada ketidaksedaran menjaga alam sekitar bagi jangka waktu panjang, tetapi di AirAsia kami telah melihat kesan-kesan yang timbul akibat perubahan iklim seperti Taufan Haiyan yang melanda Tacloban di Filipina, banjir yang berlaku di serata rantau ini dan perubahan iklim yang ketara semenjak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.”

“Kita sentiasa menjaga orang tersayang dan kita juga sentiasa mengutamakan mereka dalam perkara-perkara yang ingin kita lakukan. Namun, sudah tiba masanya untuk kita juga mengutamakan bumi kita. Sudah tiba masanya untuk kita memberitahu dunia supaya menjaga planet ini dengan lebih baik, yang juga merupakan tempat tinggal kita,” tekan Tony Fernandes lagi.

Aktiviti utama #Green24 akan diadakan dari 29 hingga 30 Januari 2016 di seluruh negara di mana Kumpulan AirAsia beroperasi, menjemput masyarakat di seluruh rantau ini menyertai usaha menggalakkan tindakan menjaga alam sekitar di rumah masing-masing, tempat kerja dan negara secara amnya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen #Green24 ini dan juga cara bagaimana untuk menyertainya dengan melayari laman airasia.com/green24.

ARTIKEL YANG SAMA