AirAsia tidak pindah ke Terminal 1 KKIA

AirAsia tidak pindah ke Terminal 1 KKIA

KOTA KINABALU, 28 Julai (Bernama) – AirAsia Bhd membuat keputusan yang tegas untuk kekal di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan tidak akan memindahkan operasinya ke Terminal 1.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Aireen Omar berkata AirAsia enggan berpindah ke Terminal 1 disebabkan langkah itu akan memberi kesan kepada operasi perniagaannya, kos operasi dan meningkatkan caj perkhidmatan penumpang.

Beliau juga berkata reka bentuk Terminal 1 tidak memudahkan operasi terminal penerbangan tambang rendah (LCCT) dan ia tidak dapat memenuhi pelan pengembangan AirAsia untuk beberapa tahun akan datang.

“Kami tidak mahu mengulangi (kesilapan) yang kami hadapi (selepas berpindah) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2. Kami pindah tetapi seluruh reka bentuk tidak memudahkan terminal tambang rendah.

“Kami akan kekal (di Terminal 2 KKIA) sehingga diberi penyelesaian kekal mewujudkan LCCT tetap,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Malaysia Airports Holdings Bhd memberi tarikh akhir terbaru kepada AirAsia untuk berpindah ke Terminal 1 KKIA pada 1 Ogos, kata Aireen.