AirAsia tunai impian 3 pemuda

AirAsia tunai impian 3 pemuda

pg13_150922_c

BANDAR HO CHI MINH, 21 Sept (Bernama) – AirAsia terus menyumbang kepada pembangunan bakat muda dan dalam misi memenuhi impian dengan menyokong projek “Journey to Homeland”; Berbasikal dari UK ke Malaysia – Satu Projek yang dianjurkan oleh sekumpulan remaja dari Malaysia dalam misi berbasikal dari United Kingdom pulang ke Malaysia.

Muhammad Adib Mohamad Ali, 26, Mohd Azrulhan Mohd Shaful, 26 dan Amirul Alis bin Ali, 32, tiba di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam pada hari Ahad 20 September lengkap dengan kit berbasikal AirAsia. Mereka disambut oleh ibu bapa dan ahli keluarga yang diterbangkan khas oleh AirAsia ke Bandar Ho Chi Minh semalam dari Kuala Lumpur.

Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad berkata “Kami sentiasa mengagumi mereka yang berani bercita-cita mencapai sesuatu yang mustahil. Kami tertarik dengan kesungguhan mereka dalam melengkapkan misi mereka untuk berbasikal merentasi 21 negara, mengibarkan bendera Malaysia sementara menyebarkan mesej amalan gaya hidup sihat dan positif, serta menunjukkan kestabilan dari segi fizikal dan mental. Ini adalah ciri-ciri yang menarik perhatian kami untuk memberi sokongan.”

“Mereka baru-baru ini berbasikal merentasi China dan kami berbesar hati dapat menerbangkan ahli keluarga mereka ke Bandar Ho Chi Minh. Vietnam adalah salah satu destinasi kegemaran kami dan kami merasakan ini adalah destinasi yang terbaik bagi ahli keluarga mereka bertemu dan memberi motivasi serta sokongan emosi sebelum mereka meneruskan perjalanan mereka pulang ke Malaysia. Lebih dari 17,000 orang AirAsia Allstars menyokong mereka berbasikal dan kami mengucapakan yang terbaik buat mereka!,” Tambah beliau.

Penunggang-penunggang basikal ini memulakan perjalanan mereka pada Ogos 2014 dan telah merentasi 18 dari 21 buah negara yang dalam perancangan mereka bagi projek Journey to Homeland ini. Mereka dijangka dapat melengkapkan misi mereka pada hujung tahun 2015.