AirAsia X bawa keriangan kepada kanak-kanak

AirAsia X bawa keriangan kepada kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Pengurusan dan (petugas) Allstars AirAsia X mengisi petang yang bermakna bersama 75 kanak-kanak kurang upaya dari segi fizikal dan mental, di Persatuan Penjagaan Kanak-kanak Cacat Klang Selangor baru-baru ini.

Diketuai Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Bhd Benyamin Ismail bersama 20 sukarelawan Allstar, mereka melakukan pelbagai aktiviti termasuk permainan, memberi hadiah dan duit raya selain meraikan kanak-kanak itu dengan hidangan lazat.

“Keadaan mereka telah memberi inspirasi kepada kita untuk menjadi orang yang lebih baik dan warga korporat yang lebih bertanggungjawab. Selari dengan perkembangan kami kepada penerbangan kos rendah jarak jauh terbesar di rantau ini, nasib yang menimpa kanak-kanak ini wajar menjadi peringatan untuk kita sentiasa merendah diri,” kata Benyamin dalam satu kenyataan hari ini.

Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Klang Selangor merupakan rumah kebajikan yang menempatkan 75 kanak-kanak pelbagai kaum, berusia antara tiga bulan dan 26 tahun, yang mengalami masalah mental seperti sindrom Down, autisme, cacat penglihatan selain bisu.

Kebanyakan kanak-kanak itu dari keluarga miskin yang tidak mempunyai keupayaan untuk menjaga mereka.

AirAsia X ialah syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh milik Kumpulan Airasia, dan terbang ke 22 destinasi di seluruh Asia (Tokyo, Osaka, Sapporo, Seoul, Busan, Taipei, Xi’an, Beijing, Hangzhou, Chengdu, Shanghai, New Delhi dan Kathmandu), Australia (Sydney, Melbourne, Perth dan Gold Coast), NZ (Auckland), Asia Barat (Jeddah, Tehran dan Muscat) serta Afrika (Mauritius). – Bernama