AirAsia X catat 3.61 juta penumpang tahun lepas

AirAsia X catat 3.61 juta penumpang tahun lepas

KUALA LUMPUR, 16 Feb – AirAsia X Bhd (AAX) membawa 3.61 juta penumpang pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2015, susut 15 peratus berbanding 4.23 juta penumpang pada tahun kewangan 2014.

Dalam perangkaan operasi awalnya, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata kapasitinya berkurangan enam peratus kepada 4.85 juta berbanding 5.16 juta sebelumnya.

“Tahun kewangan 2015 merupakan tahun yang mencabar, dengan kumpulan berdepan dengan persaingan dalam industri, ketidaktentuan mata wang, keadaan kawal selia yang tidak menentu bagi Thailand dan Indonesia, serta pelbagai situasi yang tidak diduga,” kata syarikat itu.

Namun jumlah muatan penumpang AAX naik dua mata peratusan berbanding tahun sebelumnya kepada 83 peratus pada suku keempat 2015 daripada 81 peratus yang dicatatkan pada tempoh sama pada 2014.

“Pencapaian positif ini didorong oleh aktiviti pemasaran yang agresif, sambungan Fly-Thru yang dipertingkat dalam tahun kewangan 2015 dan penumpang kembali selepas keadaan pasaran yang mencabar pada tahun 2014 dan separuh pertama 2015.

Purata penumpang menunjukkan penurunan 15 peratus berbanding catatan penumpang pada tahun 2014.– Reuters
Purata penumpang menunjukkan penurunan 15 peratus berbanding catatan penumpang pada tahun 2014.– Reuters

“Bagaimanapun, peningkatan dihalangi oleh pemulihan lebih perlahan daripada yang dijangkakan bagi operasi Kathmandu selepas gempa bumi Nepal,” kata syarikat berkenaan.

Bagi Thai AirAsia X, jumlah penumpang sebanyak 83 peratus pada suku keempat 2015 semasa akhir tahun, manakala prestasi operasi keseluruhan Indonesia AirAsia X mencatatkan trend yang konsisten dalam suku keempat 2015.

Mengenai masa depan bagi 2016, AAX sentiasa berhati-hati dan terus meneroka inisiatif strategik untuk memastikan pertumbuhan mampan. – Bernama