AirAsia X-FLT meterai perjanjian

AirAsia X-FLT meterai perjanjian

KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) – AirAsia X, syarikat penerbangan kos rendah jarak jauh sekutu Kumpulan AirAsia, menandatangani perjanjian dengan The Flight Centre Travel Group (FLT) bagi mengukuhkan saluran pembekalan di Australia.

Menerusi perjanjian itu, FLT dan Kumpulan AirAsia akan bekerja bersama-sama secara proaktif bagi mempromosi tambang syarikat penerbangan, mewujudkan penawaran baharu dan unik untuk pelanggan serta meluaskan pasaran perjalanan keluar, kata AirAsia X menerusi satu kenyataan hari ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Benyamin Ismail berkata syarikat penerbangan itu mengenal pasti peluang pertumbuhan yang kukuh di Australia.

“Menerusi kerjasama rapat dengan FLT, kami dapat mengetengahkan penawaran kami kepada pangkalan asas pelanggan syarikat yang luas serta mempromosi secara proaktif kepada pengguna merentas saluran jenama dan jualan syarikat, terutama 1,000 kedai runcit perjalanan.

“Kepelbagaian jenama ini sangat penting berikutan model penerbangan kos tambang rendah tradisional semakin berkembang dan semakin popular dalam kalangan pelanggan secara lebih luas,” katanya.

Perjanjian itu bakal menyaksikan FLT memperoleh akses barisan penuh produk AirAsia menerusi aplikasi program antara muka dalam sistem pengedaran global.

ARTIKEL YANG SAMA