AirAsia X mula penerbangan sulung ke Mauritius

AirAsia X mula penerbangan sulung ke Mauritius

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Penerbangan sulung AirAsia X ke Mauritius berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam kelmarin dengan kapasiti penumpang penuh, menandakan kedudukan kukuh kumpulan syarikat penerbangan itu di benua Afrika.

Bagi meraikan penerbangan sulung tersebut, AirAsia X telah menawarkan tambang termasuk semua istimewa daripada serendah RM199 sehala bagi tempat duduk standard dan daripada RM1,599 sehala bagi flatbed premium untuk merangsang lagi permintaan ke pulau peranginan itu.

Menurut AirAsia Group dalam kenyataan, tambang promosi itu boleh didapati secara dalam talian dari 5 hingga 9 Oktober ini melalui airasia.com untuk tempoh perjalanan 5 Oktober 2016 hingga 31 Mac 2017.

“Dengan pasaran kukuh ia memberi keyakinan bahawa kami perlu mengembangkan perkhidmatan penerbangan terus antara Mauritius dan Kuala Lumpur.

“Bersama-sama dengan gabungan penerbangan jarak pendek AirAsia Group, para pelanggan kami boleh ke Mauritius dari mana-mana destinasi dalam lingkungan rangkaian luas penerbangan kami merentas Asia, Australia dan Timur Tengah melalui Kuala Lumpur, hab kos rendah Asia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Bhd, Benyamin Ismail. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA