AirAsia X mula terbang ke Sapporo Oktober

AirAsia X mula terbang ke Sapporo Oktober

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) – AirAsia X Bhd, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh terkemuka, akan memulakan penerbangan empat kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Sapporo, Jepun mulai 1 Oktober ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Benyamin Ismail berkata AirAsia X, satu-satunya syarikat penerbangan yang mengurus perkhidmatan operasi penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Sapporo.

“Kami yakin bahawa laluan ini akan menarik lebih ramai pelancong Jepun dari Sapporo yang berminat untuk meneroka kota raya di rantau ini.

“Perkhidmatan terus ini akan menarik mereka untuk melawat Malaysia serta membawa mereka ke pelbagai destinasi di ASEAN dan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Syarikat penerbangan itu kini terbang lima kali seminggu dari Kuala Lumpur ke Osaka dan penerbangan harian ke Tokyo.

Terkenal dengan makanan laut yang segar, salji dan kesenian, Sapporo, yang mempunyai penduduk seramai 1.9 juta, menjadi antara tempat terbaik di Jepun untuk dilawati sepanjang tahun.