AirAsia X perkenal flatbed premium

AirAsia X perkenal flatbed premium

KUALA LUMPUR, 27 Julai – AirAsia X, memperkenalkan tempat duduk Flatbed premium dengan tambang termasuk semua dari RM718 (sehala) untuk meraikan kemenangannya yang berterusan pada Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax pada 12 Julai.

Dalam kenyataan hari ini, AirAsia X berkata ia merupakan syarikat penerbangan tambang rendah yang pertama di dunia memperkenalkan tempat duduk Flatbed, yang mempunyai standard spesifikasi kelas perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Benyamin Ismail berkata dianugerahkan sebagai ‘Kabin Premium Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia’ dan ‘Tempat Duduk Premium Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia’, untuk empat tahun berturut-turut menjadi bukti kukuh kepada rangkaian produk premium AirAsia X.

“Penumpang kini boleh ke Xi’An, Taipei dan Nepal dengan tempat duduk Flatbed premium dan tambang termasuk semua dari RM718 untuk sehala; ke Perth dari RM768 sehala; dan Tehran, Hangzhou dan Shanghai dari hanya RM898 sehala.

“Ini merupakan produk mewah dengan harga berpatutan dan penumpang kami dapat menikmati keselesaan tambahan dan faedah seperti hidangan dan minuman percuma, selimut, peruntukan bagasi 40kg, fleksibiliti untuk menukar penerbangan mereka dan banyak lagi,” katanya.

Flatbed Premium AirAsia X mempunyai ciri-ciri soket kuasa universal, ‘headrest’ boleh laras dan utiliti terbina seperti dulang, pemegang minuman, lampu untuk membaca dan skrin sendiri.

Promosi sedia untuk tempahan di laman webnya – www.airasia.com mulai hari ini hingga 7 Ogos 2016, bagi tempoh perjalanan dari 4 Januari hingga 21 Ogos 2017. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA