AirAsia X sasar penerbangan ke Rusia

AirAsia X sasar penerbangan ke Rusia

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) – Anak syarikat penerbangan jarak jauh AirAsia Bhd, AirAsia X Bhd telah meletakkan Rusia sebagai prospek laluannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata beliau telah bertemu Pengerusi Majlis Persekutuan Rusia, Valentina Matvienko, pada mesyuarat interaktif dan majlis makan tengah hari perniagaan di sini.

Hartawan penerbangan itu dalam akaun Twitternya, memberitahu : “Sekarang sedang bermesyuarat dengan wanita Nombor 2 Rusia. Airasia X akan terbang ke Rusia tidak lama lagi.”

Pada garis masa Twitter tersebut, Fernandes, dalam mesej teks pendek, menjawab : “Tunggu dan lihat”.

Mesyuarat hari ini telah dianjurkan oleh Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Kedutaan Rusia di Malaysia serta Majlis Perniagaan bagi Kerjasama Dengan Malaysia.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan, Ketua Pegawai Eksekutif ASLI Tan Sri Dr Michael Yeoh dan Pengerusi Majlis Perniagaan bagi Kerjasama dengan Malaysia Dr Vladimir Sautov.

AirAsia X berusaha keras untuk menambah destinasi baru tahun ini, seiring dengan pelan pemulihannya.

Pada awal tahun ini, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail, dilaporkan berkata syarikat penerbangan itu juga akan terbang ke Tehran memandangkan Iran bakal menawarkan potensi yang besar, sambil menambah bahawa syarikat itu terus menaruh minat ke atas London dan Paris.

Pada jam 3 petang, AirAsia dan AirAsia X merupakan saham teraktif yang diurusniagakan di Bursa Malaysia.

AirAsia naik tujuh sen kepada RM1.78 dengan 44.98 juta saham diniagakan dan AirAsia X menokok setengah sen kepada 30 sen dengan 34.56 juta saham didagangkan.