AirAsia X sedia kerjasama dengan pelabur

AirAsia X sedia kerjasama dengan pelabur

pg19_150729_bKUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) – AirAsia X Bhd bersedia untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pelabur yang berpotensi jika ‘kena’ harganya, kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Benyamin Ismail.

Menurutnya, biarpun beberapa syarikat penerbangan, perniagaan dan rakan kongsi telah menunjukkan minat untuk melabur dalam AirAsia X sejak beberapa tahun lepas namun syarikat itu masih belum menemui rakan kongsi yang sesuai.

“Pada masa ini kami belum menutup (pintu tawaran). Ia membantu dari segi profil syarikat dengan mengandaikan ada syarikat penerbangan besar yang mahu menyertai kami,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas mengumumkan penerbangan terus empat kali seminggu AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Sapporo, Jepun mulai 1 Oktober ini.

Laporan sebelum ini menyatakan syarikat penerbangan jauh AirAsia Group itu telah mendapat perhatian dua syarikat penerbangan utama asing untuk membeli kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Selain itu, merujuk penyusutan ringgit, Benyamin berkata ia memberi impak kecil kepada syarikat itu kerana 45 peratus daripada perolehannya adalah dalam mata wang Australia diikuti ringgit (30 peratus) dan dolar Amerika Syarikat (20 peratus).

“Kami dapat menguruskannya dengan baik, jadi impaknya tidaklah seteruk yang difikirkan ramai,” katanya.

Merujuk prestasi AirAsia X, Benyamin berkata keputusan suku kedua (berakhir 30 Jun, 2015) akan menyamai keputusan suku pertama dan keputusan separuh kedua tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun lepas.

“Kami dalam usaha merombak pelan perniagaan. Malah, kami juga telah menamatkan kapasiti laluan yang tidak menguntungkan disebabkan persaingan yang tidak rasional,” katanya.

Menurutnya, penting bagi syarikat penerbangan berkenaan mengambil langkah seperti penjimatan tunai, memantapkan perniagaan serta tumpuan kepada laluan yang menguntungkan.

Ini termasuk membatalkan penerbangan ke Adelaide, Nagoya, Narita dan berkemungkinan meneliti kehadirannya di India berikutan perkembangan AirAsia India yang signifikan.

ARTIKEL YANG SAMA