AirAsia X terima pensijilan kedua bagi Audit Keselamatan Operasi IATA

AirAsia X terima pensijilan kedua bagi Audit Keselamatan Operasi IATA

SEPANG, 18 Mac (Bernama) – AirAsia X, syarikat sekutu Kumpulan AirAsia menerima sijil untuk kali kedua bagi Audit Keselamatan Operasi (IOSA), dan mengesahkan bahawa syarikat penerbangan tersebut mematuhi piawaian keselamatan operasi antarabangsa.

Program Audit Keselamatan Operasi IATA (IOSA) adalah satu sistem penilaian yang diiktiraf dan diterima di peringkat antarabangsa yang direka untuk mengakses pengurusan dan kawalan sistem operasi syarikat penerbangan.

Bagi menerima pensijilan tersebut, AirAsia X telah lulus audit keselamatan operasi yang merangkumi semua aspek aktiviti syarikat penerbangan tersebut, iaitu; Sistem Pengurusan dan Organisasi, Operasi Penerbangan, Kawalan Operasi dan Penghantaran Penerbangan, Kejuruteraan dan Penyelenggaraan Pesawat, Operasi Kabin, Pengendalian Operasi di Terminal, Operasi Kargo dan Pengurusan Keselamatan.

Audit ini dilakukan setiap dua tahun. Sijil baru bagi AirAsia X ini adalah sah sehingga 11 April 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Berhad, Benyamin Ismail berkata, “Keselamatan adalah nilai teras yang amat kami pentingkan di AirAsia X. Kami amat berbesar hati untuk menerima pensijilan IOSA untuk kali kedua dan ia adalah saat yang amat membanggakan bagi kami.

Dengan pensijilan ini, kami telah menunjukkan bahawa AirAsia X beroperasi mengikut standard yang paling ketat dalam industri penerbangan.

“Pencapaian ini tidak dapat dilakukan tanpa dedikasi dan kerja keras daripada Allstars kami dari pelbagai jabatan yang bekerja tanpa mengenal penat lelah dengan persiapan, mengkaji dan memperbaiki semua proses operasi dan pelaksanaan keselamatan.”

AirAsia X telah menyertai pendaftaran IATA IOSA pada 16 April 2015 dan menjadi syarikat penerbangan kedua di Malaysia yang telah berjaya lulus piawaian keselamatan dan pematuhan antarabangsa tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA