Airbnb kecewa sewa dikurangkan

THE HAGUE, 12 Jan – Syarikat gergasi sewa bilik Airbnb telah menyuarakan kekecewaan dalam rancangan Amsterdam untuk mengenakan had 30-hari ke atas penyewaan rumah persendirian, berkata ia akan menjejas ekonomi tempatan.

“Kami telah membina komuniti perkongsian rumah yang bertanggungjawab disebabkan Airbnb yang memberi faedah kepada bandar serta penghuninya,” kata syarikat dalam sepucuk surat kepada majlis Amsterdam, dan dikongsi bersama AFP semalam.

Seramai 19,000 hos Airbnb di ibu negara Belanda itu berasa “kecewa dengan pengumuman anda, yang memilih hotel berbanding keluarga tempatan yang sekali-sekala berkongsi rumah mereka,” tulis Bo de Koning, pengurus dasar awam Airbnb, untuk Belanda.

Beliau menegaskan bahawa “sementara tetamu Airbnb menyumbang kepada empat peratus daripada pelawat ke Amsterdam, mereka telah merangsang ekonomi Amsterdam sebanyak kira-kira 500 juta euro pada tahun 2016.”

Ibu negara Belanda itu juga telah mengumpul kira-kira 11 juta euro dalam cukai pelancong pada 2015 dan 2016, disebabkan tempat berkenaan, kata Koning.

Eksekutif majlis perbandaran berkata pada Rabu had tahunan 60-hari untuk sewa rumah persendirian kini akan dikurangkan separuh mulai tahun 2019 “untuk mengawal pengaruh negatif sewa rumah percutian.”

“Dalam tempoh beberapa tahun lalu, terdapatnya pertumbuhan pesat dalam pasaran penyewaan rumah kepada pelancong,” katanya, menambah ia telah memberikan “kesan yang tidak diingini kepada pelbagai kawasan Amsterdam.” – AFP