Airbus sasar terima 300 tempahan

Airbus sasar terima 300 tempahan

SINGAPURA, 19 Feb (Bernama) – Pengeluar pesawat terkemuka Eropah, Airbus menyasarkan pesawat pengangkutnya, A400M akan menerima kira-kira 300 tempahan dalam masa 30 tahun akan datang berikutan minat menggalakkan daripada pelbagai negara.

Keyakinan itu juga bersandarkan keupayaan yang dimiliki pesawat itu berbanding generasi lain pesawat pengangkut sedia ada.

Pengurus Pembangunan Pasaran Pertahanan dan Ruang Angkasa Airbus bagi Pesawat Tentera A400M, Raul Tena berkata pesawat itu menepati syarat global serta boleh digunakan bagi misi termasuk kemanusiaan serta sesuai dalam semua keadaan cuaca.

“Kami percaya ia memiliki banyak potensi. Malah, ramai yang sebenarnya berminat dengan pesawat ini dan kami yakin dengan prospeknya di rantau ini,” katanya kepada Bernama di luar acara Pertunjukan Udara Singapura 2016, di sini, Jumaat.

Ketika ini, Malaysia adalah pelanggan global pertama bagi A400M dan telah menerima dua daripada empat pesawat yang ditempah pada tahun lepas.

Pesawat Boeing A400M yang disasarkan akan mendapat 300 tempahan dalam masa 30 tahun. – Reuters
Pesawat Boeing A400M yang disasarkan akan mendapat 300 tempahan dalam masa 30 tahun. – Reuters

“Penghantaran baki dua pesawat itu dijangka dapat dilakukan menjelang akhir tahun ini,” kata Tena.

Selain Malaysia, A400M turut digunakan di Perancis, Jerman, Turki dan United Kingdom.

Airbus juga setakat ini menerima 174 tempahan bagi pesawat itu yang mana 23 daripadanya telah dihantar selepas penghantaran pertamanya pada 2013.

Menurut Tena, pengeluaran pesawat itu adalah sebanyak 20 hingga 23 buah, setahun.

Airbus A400M boleh mengangkut muatan berat dan besar seperti helikopter dan kereta perisai yang tidak dapat diangkut pesawat taktikal sedia ada.

Malah, ia mampu membawa muatan pada kelajuan tinggi dan jarak jauh yang menyamai pesawat pengangkut strategik.Selain itu, ia juga dilengkapi tangki yang boleh diisi sehingga 50 tan minyak dan digunakan bagi melakukan pengisian semula minyak untuk dua jet pejuang secara serentak.

Ia juga dilengkapi hos dan unit tangki yang boleh digunakan bagi pengisian semula pesawat besar seperti A400M atau C295.