Airbus, SIA lancar pusat latihan penerbangan $134j

Airbus, SIA lancar pusat latihan penerbangan $134j

SINGAPURA, 21 April – Syarikat Airbus and Singapore Airlines (SIA) melancarkan pusat latihan penerbangan bernilai AS$100 juta ($134 juta) bagi memanfaatkan permintaan yang meningkat bagi khidmat itu di rantau ini.

Terletak di Taman Penerbangan Seletar, Pusat Latihan Asia Airbus (AATC), yang terbesar dalam rangkaian Airbus, dibuka kelmarin. Sebanyak 55 peratus perkongsian dimiliki Airbus, manakala SIA memiliki baki 45 peratus.

Menurut kenyataan dari Airbus, sebanyak 17 syarikat penerbangan dari Asia Pasifik telah menandatangani perjanjian bagi menggunakan pusat itu termasuk SIA, Tigerair, Qatar Airways dan Cebu Pacific – jumlah yang tidak dijangkakan oleh SIA, kata Ketua SIA, Goh Choon Phong.

Pusat itu yang mempunyai lapan simulator penuh bagi pesawat Airbus seperti A350, A380, A330 dan A320, mempunyai keupayaan melatih lebih 10,000 pelatih setahun.

Ketika ini, AATC mempunyai 15 instruktor dan jumlah itu akan ditingkatkan mencapai sehingga 50 menjelang 2019.

Antara simulator penuh bagi pesawat Airbus seperti A350, A380, A330 dan A320, mempunyai keupayaan melatih lebih 10,000 pelatih setahun di Bangunan Pusat Latihan Asia Airbus yang baru dibuka di Singapura.
Antara simulator penuh bagi pesawat Airbus seperti A350, A380, A330 dan A320, mempunyai keupayaan melatih lebih 10,000 pelatih setahun di Bangunan Pusat Latihan Asia Airbus yang baru dibuka di Singapura.

“Pusat baru itu menggabungkan kepakaran kedua-dua syarikat dan menawarkan mutu latihan tertinggi bagi kru penerbangan yang semakin bertambah di rantau ini,’’ kata Presiden Airbus, Fabrice Brégier.

Airbus menganggarkan rantau ini akan mempunyai 14,000 pesawat bagi dua dekad mendatang, berbanding 5,600 ketika ini.

Bilangan kru penerbangan juga dijangka meningkat daripada 65,000 kepada hampir 170,000.

Bagi SIA, pusat latihan baru itu merupakan sebahagian strategi bagi menjana pendapatan baru bagi kumpulan itu.

Airbus mempunyai kemudahan serupa di Toulouse, Perancis; Miami, Amerika Syarikat, dan Beijing di China. Ini kali pertama ia berganding dengan sebuah syarikat penerbangan bagi membentuk pusat latihan itu.