AIROD, BAE System memeterai MOU naik taraf Hawk

AIROD, BAE System memeterai MOU naik taraf Hawk

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) – Syarikat penyelenggaraan pesawat, pembaikan dan baik pulih (MRO) terkemuka di Malaysia, AIROD Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan BAE Systems (Operation) Ltd untuk kerja menaik taraf sistem avionik dalam pesawat jet Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pengarah Urusan BAE System bagi Asia Tenggara dan India, John Brosnan berkata usaha naik taraf itu akan melonjakkan Hawk Mk108 dan MK208 dengan teknologi terkini bagi memastikan pesawat itu memenuhi semua keperluan operasi masa depan.

“Kami menyediakan opsyen untuk pesawat satu dan pesawat dua tempat duduk. Ia memberikan keupayaan dan jangka hayat tambahan membolehkan ia berkhidmat untuk lebih lama,” katanya kepada Bernama semasa Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia 2016 di sini hari ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan UK (Peralatan, Sokongan dan Teknologi), Philip Dunne, menyaksikan majlis menandatangani MoU itu.

Di bawah MoU itu, BAE Systems akan melaksanakan reka bentuk, pembuatan dan pentauliahan sistem pesawat dan AlROD akan bertanggungjawab bagi integrasi sistem ke dalam pesawat.

MoU ini juga akan mengukuhkan dan meningkatkan kerjasama di antara AIROD dan BAE System dalam penyelenggaraan jangka panjang pesawat, ini sekali gus, memastikan ketersediaan operasi dan keupayaan pesawat TUDM.

AlROD, anak syarikat National Aerospace and Defence Industries (NADI) telah menyediakan penyelenggaraan barisan kedua kepada pesawat Hawk TUDM sejak ia mula memasuki perkhidmatan dalam 1995.

ARTIKEL YANG SAMA