Airod raih kontrak tentera laut Amerika AS$25j

Airod raih kontrak tentera laut Amerika AS$25j

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) – Pusat Logistik Armada Tentera Laut Amerika Syarikat Yokosuka memberi kontrak lima tahun bernilai US$25 juta (US$1 = RM4.42) kepada firma aeroangkasa, Aircraft Inspection, Repair & Overhaul Depot Sdn Bhd (AIROD).

Kontrak yang ditandatangani pada 29 Jun 2015 itu akan menggunakan kira-kira 25 jurutera dan juruteknik untuk penyelengaraan 13 pesawat KC130J, demikian menurut Kedutaan Amerika Syarikat di sini dalam satu kenyataan.

Kedutaan itu berkata perjanjian itu mewakili pelaburan langsung kerajaan Amerika yang signifikan dalam industri pertahanan Malaysia.

“Ia mencerminkan kekukuhan hubungan perdagangan pertahanan Amerika-Malaysia susulan pengumuman kerjasama komprehensif antara kedua-dua negara oleh Presiden (Barack) Obama pada April 2014,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memetik Pegawai Memerintah Pusat Kesiapsiagaan Barat Pasifik Armada Tentera Laut Amerika (FRCWP) Lt Col Thomas A. Atkinson sebagai berkata: “Kami kagum dengan pengetahuan penyelengaraan, pengalaman dan keupayaan teknikal AIROD dan depot Kumpulan Aero-angkasa dan Industri Pertahanan Nasional mengenai pesawat C-130.

“Kami berasa kami bernasib baik dapat bekerjasama dengan AIROD dan menerusi kontrak ini telah meningkatkan dengan ketara keupayaan kami untuk menyokong kesiapsiagaan keperluan Tentera Laut dan Marine Corps Amerika,” katanya.

Menurut kedutaan itu lagi, di bawah kontrak baharu itu, AIROD akan menyelenggara pesawat KC-130J dengan sokongan Skuadron Pengangkutan Pengisi Minyak Di Udara US Marine Corps yang berpangkalan di Jepun.

Kerja-kerja bagi pesawat pertama dijadual bermula pada Januari 2016, katanya.

“Perjanjian itu juga termasuk kerja pembaikan dalam perkhidmatan berpotensi sepanjang hayat kontrak itu, seperti pembaikan komponen/alat ganti, kawalan hakisan, pembaikan ‘drop-in’, pembuatan alat ganti dan kerja serupa yang lain bagi pesawat C-130 Tentera Laut dan Marine Corps Amerika.

“Kerja pembaikan boleh dilakukan di fasiliti AIROD atau mana-mana tempat dalam lingkungan Kawasan Tanggungjawab Barat Pasifik tentera Amerika,” katanya.

Terletak di Subang, AIROD menawarkan khidmat penyelenggaran, pembaikan dan baik pulih pesawat untuk khidmat sokongan kepada pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia.

ARTIKEL YANG SAMA