AiTi seru pengguna patuhi etika

AiTi seru pengguna patuhi etika

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AiTi) mengingatkan para pengguna media sosial tempatan supaya lebih bertanggungjawab dan berhati-hati dalam penggunaan media sosial.

Peringatan itu dibuat memandangkan media sosial masa kini memainkan peranan penting dalam masyarakat dan telah menjadi salah satu saluran komunikasi yang bernilai dalam menghubungkan masyarakat dan berkongsi maklumat secara pantas.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, AiTi menegaskan, walaupun media sosial merupakan saluran komunikasi paling popular digunakan di negara ini, namun masih terdapat pengguna yang kurang berpengetahuan dan pemahaman mengenai etika penggunaan media sosial.

Menurut Aiti, pengguna media sosial yang masih cuba memahami konsep sebenar etika terbaik media sosial harus menjadikan norma-norma etika kehidupan sebenar sebagai panduan yang harus mereka ikuti dalam media sosial.

Ini kerana kelakuan dalam media sosial akan mencerminkan keperibadian kita yang boleh memberikan kesan kepada prospek kerjaya masa depan.

Sehubungan itu, AiTi menggariskan beberapa garis panduan yang harus dituruti ketika di media sosial, antaranya sentiasa menunjukkan sikap hormat, kerana setiap tingkah laku yang kita tunjukkan di Internet sebenarnya menggambarkan keperibadian kita.

Menurut AiTi, ini tidak bermakna hanya kerana kita dapat ‘berselindung’ di belakang komputer, tidak bermakna kita boleh bertindak sesuka hati, sebaliknya kita harus menghormati dan melayani orang lain dengan baik.

Faktor kedua yang harus diamalkan oleh pengguna media sosial ialah dengan mematuhi peraturan dan undang-undang kumpulan dan masyarakat serta sentiasa mematuhi syarat penggunaan platform media sosial yang digunakan.

Seterusnya, AiTi juga menasihatkan pengguna media sosial supaya tidak bertindak balas terhadap posting di media sosial kerana seorang pengguna media sosial yang bertanggungjawab harus mempertimbangkan kesan aktiviti yang mereka lakukan itu.

Sehubungan itu, sebelum mengongsikan kandungan, pengguna harus memikirkan sama ada ia sesuai atau tidak untuk dikongsikan kepada umum, dan sama ada kandungan itu akan menimbulkan kekeliruan atau menyinggung perasaan orang lain.

Dalam kenyataan itu juga, AiTi menerangkan beberapa contoh penggunaan media sosial tidak bertanggungjawab yang menyebarkan gambar, jenaka dan khabar angin yang boleh menyinggung perasaan dan mencemarkan reputasi penerima atau pihak tertentu serta boleh menimbulkan keadaan panik di kalangan masyarakat.

AiTi menyarankan orang ramai supaya melaporkan sebarang salah guna media sosial kepada CAC melalui e-mel info.cac@aiti.ghov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA