Ajax terikat, Shakhtar menang mudah

Ajax terikat, Shakhtar menang mudah

PARIS, 27 Julai – Juara Eropah empat kali Ajax sekadar terikat 1-1 di laman sendiri dengan PAOK dalam aksi pertama pusingan kelayakan ketiga Liga Juara-Juara, semalam tatkala Shakhtar Donetsk mengatasi Young Boys 2-0.

Djalma Campos memberikan gol pendahuluan buat PAOK di Amsterdam, dan walaupun Kasper Dolberg menyamakan kedudukan, Ajax masih berdepan tugas sukar bagi pertemuan kedua di Greece minggu depan.

Di Lviv, jaringan setiap babak daripada tonggak Brazil Bernard dan penyerang Ukraine Yevhen Seleznyov membantu Shakhtar Donetsk membenam pasukan Switzerland, Young Boys.

Bagaimanapun aksi itu dicemari dengan tindakan pengadil mengarahkan pertahanan skuad pelawat, Milan Vilotic keluar padang gara-gara kad kuning kedua dikumpulnya.

BATE Borisov dari Belarus yang memburu tiket ke peringkat kumpulan buat kali kelima, menewaskan pasukan Republik Ireland Dundalk 1-0, Dinamo Zagreb pula mengetepikan skuad kerdil dari Georgia Dinamo Tbilisi 2-0.

Rostov yang juga naib juara Liga Premier Russia, dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat pasukan pilihan Anderlecht 2-2 di laman sendiri pada penampilan pertama mereka dalam Liga Juara-Juara. – AFP