AJK MPK terima sijil lantikan

AJK MPK terima sijil lantikan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Seramai 20 ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lupak Luas dan Tarap Bau, hari ini, menerima sijil lantikan masing-masing di majlis yang berlangsung di Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab, di sini.

Penyampaian sijil-sijil lantikan telah disempurnakan oleh Penghulu Mukim Lumapas, Haji Bakar Mansor selaku tetamu kehormat serta isteri.

Majlis itu diselaraskan dengan Majlis Tahlil Doa Arwah Sekampung bagi menyemarakkan lagi kedatangan bulan Ramadan sedikit masa lagi.

Terdahulu, bacaan surah Al-Fatihah membuka tirai majlis sebelum diteruskan dengan ucapan pengerusi majlis iaitu Ketua Kampung Lupak Luas dan Tarap Bau, Haji Suhaili bin Haji Moktar, yang antara lain menekankan komitmen memeduli kepentingan para penduduk kampung dalam apa jua rancangan dan kegiatan.

Salah seorang daripada AJK MPK yang menerima sijil lantikan.
Salah seorang daripada AJK MPK yang menerima sijil lantikan.

Menurut beliau, pihak jawatankuasa MPK akan terus bekerjasama dengan penduduk kampung dalam mengatasi masalah di kampung terutama di dalam menuju ke arah kecemerlangan kampung.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua ahli jawatankuasa MPK untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan jujur dan telus supaya ia akan terus menjadi teladan dan contoh kepada anak buah kampung dalam memartabatkan kemajuan institusi berkampung.

Majlis diakhiri dengan bacaan Tahlil dan doa arwah yang dipimpin oleh Haji Bakir bin Haji Mahmud.

ARTIKEL YANG SAMA