AJK MRSB lancar logo rasmi

AJK MRSB lancar logo rasmi

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar kini rasmi mempunyai logo, visi dan misi tersendiri selepas dirasmikan malam tadi oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong.

Beliau yang juga merupakan Penasihat AJK Takmir MRSB telah merasmikannya dengan menyentuh ‘enter’ di skrin komputer riba depannya yang terus memancarkan Logo AJK Takmir MRSB atas layar putih.

Para hadirin kemudiannya diberikan penjelasan mengenai maksud tersirat simbol dan warna dalam logo itu serta didedahkan kepada visi dan misi AJK Takmir MRSB.Visinya adalah menjadikan MRSB sebagai pusat ibadah dan perkembangan ilmu bagi membentuk masyarakat yang bertakwa (berilmu, beriman dan beramal soleh) ke arah mencapai hasrat Negara Zikir.

Misinya pula adalah untuk mengembang majukan serta memakmurkan MRSB sebagai pusat peribadatan, ilmu pengetahuan dan kegiatan ummah di mukim masjid, melalui perancangan dan pengurusan yang berkesan dan dinamik bagi melahirkan insan yang beriman, bertakwa dan berilmu berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah menurut Ahli Sunnah Wal Jama’ah Mazhab Syafi’e. Awal sebelum pelancaran itu, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud menyempurnakan penyampaian cenderahati dan surat lantikan kepada AJK Takmir MRSB yang diwakili Setiausaha AJK Takmir MRSB, Kolonel (B) Pengiran Dato Paduka Haji Azmansham bin Pengiran Haji Mohammad.

Yang Berhormat Dato Haji Ali ketika merasmikan Logo Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah dengan menyentuh skrin komputer riba di depannya.
Yang Berhormat Dato Haji Ali ketika merasmikan Logo Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah dengan menyentuh skrin komputer riba di depannya.
Logo Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah.
Logo Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah.

Terdahulu daripada itu, majlis di Dewan Utama, MRSB berkenaan telah menyaksikan Ketua Kampung Sungai Akar, Haji Ramlee bin Haji Mohd Zain menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada Haji Kadir bin Arshad, dan kemudiannya sijil penghargaan kepada para peserta khatam.

Acara-acara berkenaan dijalankan selesai Solat Fardu Isyak berjemaah, manakala majlis penuh bersejarah itu bermula selesai Solat Fardu Maghrib berjemaah dengan Majlis Khatam Al-Quran Kelas Murattal MRSB, Kampung Sungai Akar Kali Pertama 1437H/2016M.

Majlis khatam itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid merangkap Ketua Imam MRSB, Haji Symsul Nizam bin Haji Badar. Para peserta khatam kemudiannya terus membaca Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Naas, disusuli dengan bacaan Takhtim dan bacaan Doa Khatam oleh Haji Symsul. Sejurus selepas Solat Fardu Isyak majlis pun disambung dengan bacaan Dikir Marhaban.

Majlis 4-dalam-1 itu telah ditutup dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan oleh Haji Symsul.

ARTIKEL YANG SAMA