AJU pinta 10 wartawan dibebaskan

AJU pinta 10 wartawan dibebaskan

KAHERAH, Mesir, 30 Mei – Kesatuan Wartawan Arab (AJU), telah mengutuk akan hilangnya 10 wartawan Yaman dari penjara Habra, di ibu negeri Yaman, Sana’a, dan menuntut kumpulan Houthi mendedahkan keberadaan mereka dan melepaskan mereka segera.

AJU berkata dalam satu keterangan bahawa, wartawan-wartawan itu, yang dibawa ke destinasi tidak diketahui, memerlukan rawatan perubatan segera, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

“Kumpulan Houthi bertanggungjawab penuh bagi nyawa dan keselamatan rakan-rakan kami, yang memulakan mogok lapar pada 9 Mei, dalam bantahan terhadap layanan buruk yang mereka terima,” menurut keterangan itu.

Pihak AJU menuntut pihak Houthi mendedahkan keberadaan mereka dan membebaskan mereka segera, bagi membolehkan mereka menerima rawatan perubatan.

Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ), pertubuhan terbesar wartawan di dunia, telah menggesa utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Yaman, bertindak untuk membantu mendapatkan pembebasan segera 10 wartawan yang dipenjara, di tengah-tengah meningkatnya kebimbangan mengenai kesihatan mereka dan tuduhan-tuduhan dakwaan penyeksaan.

Dalam satu surat kepada utusan PBB, Ould Cheikh Ahmed, IFJ menyokong kebimbangan yang diluahkan oleh ahli gabungannya, Sindiket Wartawan Yaman (YJS), dan keluarga-keluarga wartawan, dalam keadaan tidak berperikemanusiaan yang wartawan banduan itu hadapi. – NNN