Ak Adi Nazri, Fatin Norhanani juara musabaqah belia

Ak Adi Nazri, Fatin Norhanani juara musabaqah belia

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri dan Dayang Fatin Norhanani binti Haji Mohdar, masing-masing muncul johan kategori qari dan qariah dalam Musabaqah Tilawah Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 2015.

Dalam pertandingan peringkat akhir yang berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), hari ini, Awangku Adi Nazri menewaskan tiga peserta qari lain dengan mengutip markah 89.25 peratus, diikuti oleh Awang Muhd Sadun bin Suhaili di tempat kedua dengan mendapat 88.75 peratus, Awang Abdul Wafiy bin Haji Ibrahim di tempat ketiga dengan 86.7 peratus, dan Awang Afiq Haririe bin Haji Mohd Daud mendapat 85 peratus di tempat keempat.

Sementara itu, dengan kutipan markah 86.5 peratus, Dayang Fatin Norhanani menjuarai kategori qariah, sekali gus menempatkan Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki di kedudukan kedua dengan 85.25 peratus, dan tempat ketiga dan keempat masing-masing disandang oleh Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri dengan 83.5 peratus dan Dayangku Nur Aqilah binti Pengiran Haji Ayub yang mendapat 81.75 peratus.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah selaku tetamu kehormat.

Johan kedua-dua kategori membawa pulang piala pusingan dan wang tunai $2,000, naib johan menerima wang tunai $1,500, tempat ketiga $1,000 dan pemenang keempat menerima $500, dengan setiap pemenang turut menerima piala iringan dan sijil penyertaan.

Dayang Fatin Norhanani juara qariah dengan meraih markah 86.5 peratus.
Dayang Fatin Norhanani juara qariah dengan meraih markah 86.5 peratus.
Awangku Adi Nazri muncul juara kategori Qari dengan mendapat 89.25 peratus markah.
Awangku Adi Nazri muncul juara kategori Qari dengan mendapat 89.25 peratus markah.

Dalam ucapannya di majlis itu, Yang Berhormat Pehin telah menekankan pentingnya para belia berdamping dan mendekatkan diri dengan Al-Quran dan menjadikannya sebagai panduan dan pelita dalam membangunkan diri dan memperkasa peribadi.

Beliau berkata, melalui pegangan yang kuat kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunah, ia memberikan kesempurnaan kepada pembangunan jati diri golongan belia di negara ini dalam menjadikan diri mereka sebagai generasi berwawasan yang berpelajaran, berpengetahuan, berkemahiran, berintegriti tinggi dan berdisiplin.

“Dengan berpegang kepada ajaran Al-Quran akan memberikan kekuatan kepada kaum belia untuk bangkit daripada kemelut imej negatif yang sering digambarkan mengenai belia, iaitu keruntuhan moral dan penglibatan dengan gejala-gejala sosial, budaya hedonistik, pengangguran dan kecelaruan identiti yang memberikan imej yang menjadi punca kelemahan kepada pembangunan bangsa dan negara,” ujar Yang Berhormat Pehin.

Awangku Adi Nazri memperdengarkan bacaan dalam pertandingan Musabaqah Tilawah Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir bagi tahun 2015.
Awangku Adi Nazri memperdengarkan bacaan dalam pertandingan Musabaqah Tilawah Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir bagi tahun 2015.
Antara mereka yang menghadiri majlis penuh berkat tersebut.
Antara mereka yang menghadiri majlis penuh berkat tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru golongan belia supaya berlumba-lumba merebut peluang diberikan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan swasta untuk membangun dan mengembangkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan keusahawanan mereka.

Pertandingan Musabaqah Tilawah Quran Belia Kebangsaan ini adalah salah satu projek tahunan yang diungkayahkan oleh Jabatan Belia dan Sukan, KKBS, yang telah dilaksanakan sejak tahun 1980an dan telah berjaya melahirkan ramai qari dan qariah belia yang berkaliber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Ia berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau taranum.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyediakan wadah bagi melahirkan qari dan qariah belia yang berpotensi tinggi sebagai pelapis qari dan qariah negara di samping untuk mempertingkatkan mutu pembacaan Al-Quran dalam kalangan belia, dan sebagai persediaan bagi pemilihan wakil negara ke Musabaqah Tilawah Quran Belia Asia Tenggara anjuran KKBS, serta untuk memupuk dan menyemai rasa persahabatan di kalangan belia melalui program keagamaan.