Akademi Kilanas B15 juara Kumpulan B

Akademi Kilanas B15 juara Kumpulan B

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – Akademi Kilanas B15 kekal menjadi satu-satunya pasukan yang belum pernah kalah dalam Piala Remaja Elit B15 NFABD dalam laluannya keluar sebagai juara Kumpulan B dengan catatan 10 mata dari tiga menang dan satu seri.

Dalam perlawanan terakhirnya di peringkat kumpulan petang ini di Padang Turf NFABD, Akademi Kilanas B15 berjaya mengalahkan BM Skim JBS B15 dengan jaringan 3-2.

Akademi Kilanas B15 mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Azizie pada minit ke-12 dan kemudiannya Salleh pada minit ke-18.

Lima minit selepas rehat iaitu pada minit ke-35, BM Skim JBS B15 mendapat gol pertamanya melalui jaringan Hafiz, tetapi Qayyum mengembalikan pendahuluan dua gol Akademi Kilanas B15 selang dua minit kemudian untuk kedudukan 3-1.

Jaringan Riyyat Iman yang terhasil di hujung perlawanan iaitu pada minit ke-60 untuk BM Skim JBS B15 agak terlewat sekaligus memberikan Akademi Kilanas B15 tiga mata penting untuknya mara ke separuh akhir dengan kemenangan 3-2.

Akademi Kilanas B15 (merah) menang 3-2 ke atas BM Skim JBS (putih) untuk mara ke separuh akhir Piala Remaja Elit B15 NFABD sebagai juara Kumpulan B.
Akademi Kilanas B15 (merah) menang 3-2 ke atas BM Skim JBS (putih) untuk mara ke separuh akhir Piala Remaja Elit B15 NFABD sebagai juara Kumpulan B.

Mara ke separuh akhir daripada Kumpulan B mengiringi Akademi Kilanas B15 ialah Tabuan B14 yang mencatat kemenangan besar 7-2 ke atas AKSE Bersatu B15 pada perlawanan sebelah pagi yang mengambil tempat di Kompleks Sukan Berakas (KSB).

Mohd Syami Fadhililah bin Mohd Helmi mencetak hatrik (minit ke-3, ke-25 dan ke-59) manakala Muhd Khoirunnas bin Khalid, Amirul Hafiz bin Amir Mahmood, Mohammad Hadif Amin bin Haji Adanan dan Muhammad Waiz bin Shaadon masing-masing menyumbangkan satu gol, masing-masing pada minit ke-9, ke-13, ke-15 dan ke-60.

Dua gol AKSE Bersatu B15 pula dihasilkan oleh Muhammad Azrisam bin Aladin pada minit ke-16 dan Md Fikri Fadhilah bin Samsumi pada minit ke-48.

Menerusi kemenangan itu Tabuan B14 mara sebagai naib juara Kumpulan B dengan mengumpul 9 mata dari tiga menang dan satu kalah, empat mata di depan pasukan di tempat ketiga, MSN United B15.

ARTIKEL YANG SAMA