Akademi Kilanas B15 juara Piala Remaja

Akademi Kilanas B15 juara Piala Remaja

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Akademi Kilanas B15 menjadi juara pertama Piala Remaja Elit B15 NFABD 2015 menerusi gol tunggal Abdul Qayyum Musyarrat bin Abdul Kahar pada separuh masa kedua untuk menang 1-0 ke atas Brunei Sports School (BSS) B15.

Pada perlawanan akhir di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu Abdul Qayyum Musyarrat meledakkan jaringannya pada minit ke-38, yang sekali gus melayakkannya untuk menerima Anugerah Pemain Paling Bernilai BAG Networks.

Sementara itu Muhammad Suhaily Syafiee bin Abdullah Masrazni yang konsisten menjaringkan gol buat BSS B15 tetapi tidak di perlawanan akhir telah diumumkan selaku penerima Anugerah Penjaring Terbanyak BAG Networks.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga sebelum final itu dilangsungkan, Tabuan B14 turut mencatat kemenangan yang sama, 1-0 ke atas lawannya, Daerah Tutong B15, hasil jaringan Mohammad Hadif Aiman bin Haji Adanan untuk memenangi tempat ketiga.

Juara Piala Remaja Elit B15 NFABD 2015, Akademi Kilanas B15 bersama Pengiran Suhaimi (kemeja hitam).
Juara Piala Remaja Elit B15 NFABD 2015, Akademi Kilanas B15 bersama Pengiran Suhaimi (kemeja hitam).

Hadir menyaksikan kedua-dua perlawanan berkenaan dan kemudiannya berkesudian untuk menyempurnakan majlis penyampaian pingat dan piala ialah Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Pengiran Suhaimi bin Pengiran Haji Bakar.

Sejumlah 11 buah pasukan telah menyertai kejohanan anjuran Jabatan Perkembangan Bolasepak NFABD dari 27 November hingga 5 Disember 2015 berkenaan.

Bersaing dalam Kumpulan A ialah Tabuan B13, BSS B15, Belait Black Gold B15, TAFA B15 (Temburong) dan Daerah Tutong B15, manakala berentap dalam Kumpulan B ialah MSN United B15, BM (Brunei & Muara)Skim JBS, AKSE Bersatu B15, JIS B15, Academi Kilanas B15 dan Tabuan B14.

Kejohanan ini berpotensi besar menjadi medan mengenal pasti pemain-pemain berbakat besar tempatan menerusi Program Mengenal pasti Bakat (TDI) yang dijalankan di sepanjang berlangsungnya kejohanan berkenaan.

NFABD berharap untuk membawa masuk para pemain muda terbaik kejohanan ke dalam program perkembangan berstruktur NFABD demi melatih mereka sebelum diserapkan bagi menguatkan lagi pasukan kebangsaan sebagai persiapan menyertai kejohanan-kejohanan peringkat antarabangsa di masa akan datang.

Kejohanan itu dihasratkan akan dapat mengumpulkan para pemain terbaik B15 di negara ini sekali gus memberikan mereka peluang untuk menimba pengalaman dan memperbaiki mutu permainan mereka masing-masing di peringkat kebangsaan.

ARTIKEL YANG SAMA