Akademi Kilanas B15 menang selesa

Akademi Kilanas B15 menang selesa

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Dis – Juara Kumpulan B, Akademi Kilanas B15 akan menentang Juara Kumpulan A, Brunei Sports School (BSS) B15 dalam perlawanan akhir Piala Remaja Elit B15 NFABD 2015 pada petang Ahad, 6 Disember ini selepas masing-masing menang di peringkat separuh akhir petang ini.

Dalam perlawanan separuh akhir kedua yang bermula pukul 4:30 petang, Akademi Kilanas B15 menepati sasaran mara ke final menerusi kemenangan meyakinkan, 3-1 ke atas naib juara Kumpulan B, Daerah Tutong B15.

Perlawanan pada awalnya berlangsung sengit dengan Daerah Tutong B15 yang kelihatan lebih banyak melakukan serangan sambil pertahanannya sering berjaya memerangkap penyerang Akademi Kilanas B15 dengan perangkap ofsaid.

Tetapi Akademi Kilanas B15 akhirnya berjaya menewaskan perangkap ofsaid Daerah Tutong B15 sekali gus peluang itu diambil sepenuhnya oleh Abdul Qayyum Musyarrat bin Abdul Kahar untuk meledakkan gol pertama pasukannya pada minit ke-21. Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga waktu rehat.

Hanya seminit perlawanan dimulakan semula pada separuh masa kedua, Abdul Qayyum Musyarrat menghukum kealpaan pertahanan Daerah Tutong B15 untuk mencatat gol kedua peribadi dan pasukannya sekali gus membawa pasukannya di depan 2-0.

Akademi Kilanas B15 (merah) menang 3-1 ke atas Daerah Tutong B15 (kuning) untuk layak ke final Piala Remaja Elit B15 NFABD.
Akademi Kilanas B15 (merah) menang 3-1 ke atas Daerah Tutong B15 (kuning) untuk layak ke final Piala Remaja Elit B15 NFABD.

Lima minit kemudian, Daerah Tutong B15 mendapat gol semangat kebangkitannya yang disumbangkan oleh Mohd Aqmal bin Kafali yang merubah kedudukan menjadi 2-1.

Tiada jaringan lagi berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan selepas itu sehinggalah pada minit ke-56 iaitu empat minit sebelum perlawanan ditamatkan, yang menjadi milik Akademi Kilanas B15 menerusi jaringan Nursalikin Mustanir bin Haji Abas.

Jaringan itu sekali gus mematah semangat kebangkitan Daerah Tutong B15 menyebabkan kedudukan 3-1 itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Perlawanan akhir Piala Remaja Elit B15 NFABD 2015 akan berlangsung pada pukul 4:00 petang, Ahad, 6 Disember ini di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

Manakala awal sebelum itu iaitu bermula pukul 2:00 petang pada hari dan tempat yang sama, perlawanan penentuan tempat ketiga di antara Tabuan B14 dengan Daerah Tutong B15 akan dilangsungkan.

Sehubungan dengan itu orang ramai terutama sekali para ibu bapa dan penjaga pemain adalah dijemput hadir untuk menyaksikan kedua-dua perlawanan berkenaan bagi memeriahkan lagi suasana majlis penutup kejohanan yang julung-julung kalinya diadakan oleh NFABD berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA