Akhbar China selar tindakan ketua pembangkang Taiwan

Akhbar China selar tindakan ketua pembangkang Taiwan

BEIJING, 9 Nov (AFP) – Akhbar China yang dikendalikan oleh kerajaan hari ini menyelar pemimpin pembangkang Taiwan yang juga calon wanita presiden Tsai Ing-wen sebagai berfikiran sempit dan mementingkan diri sendiri selepas dia mengkritik mesyuarat bersejarah antara para pemimpin kedua-dua negara itu.

Presiden Xi Jinping dan Presiden Ma Ying-jeou berjabat tangan di Singapura Sabtu lalu, yang menandakan langkah bersimbolik ke arah menamatkan perselisihan yang telah memisahkan Beijing dan Taipei sejak berakhirnya perang saudara China pada tahun 1949.

Namun mesyuarat itu juga menyerlahkan ketegangan yang masih wujud di selat Taiwan.

China masih mempunyai kira-kira 1,500 peluru berpandu yang bertujuan menegah pulau itu dari mengisytiharkan kemerdekaannya.

Tsai, ketua parti pro kemerdekaan, iaitu Parti Progresif Demokratik (DPP) membidas Ma kerana gagal mempertahankan demokrasi dan kebebasan Taiwan pada mesyuarat itu dan kerana tidak menghuraikan pulau itu sebagai Republik China, gelaran rasmi yang diberinya sendiri.

Ketua Pembangkang parti Taiwan Tsai Ing-Wen diselar oleh akhbar China berikutan kritikannya terhadap perjumpaan presiden China dan Taiwan di Singapura baru-baru ini. – Reuters
Ketua Pembangkang parti Taiwan Tsai Ing-Wen diselar oleh akhbar China berikutan kritikannya terhadap perjumpaan presiden China dan Taiwan di Singapura baru-baru ini. – Reuters

Di halaman rasminya di Facebook semalam, dia menuduh Ma cuba “membatasi masa depan Taiwan untuk mencapai status politiknya sendiri.”

Akhbar Global Times yang mempunyai hubungan rapat dengan parti komunis yang memerintah China, berkata dalam rencananya hari ini bahawa dia telah ‘membuat kesilapan bodoh’ dengan menyifatkannya sebagai ‘marah’ dalam cubaan untuk “merendah-rendahkan mesyuarat itu”

Dia telah “mendedahkan sokongannya bagi ‘kemerdekaan Taiwan,” tambahnya – dibenci oleh Beijing.

Akhbar itu mengatakan “Tuntutan Tsai telah mendedahkan pemikiran sempitnya dan politiknya yang mementingkan diri sendiri yang meletakkan undi mengatasi kemajuan aman di seluruh Selat.”

Hubungan antara Beijing dan Taipei telah semakin pulih secara dramatik sejak Ma dilantik pada tahun 2008, dengan peningkatan perdagangan dan pelancongan dan juga bermulanya penerbangan langsung.

ARTIKEL YANG SAMA