Akhiri latihan maritim sulung dua hala

Akhiri latihan maritim sulung dua hala

SINGAPURA, 26 Mei (Bernama) – Tentera Laut Republik Singapura (RSN) dan Tentera Laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA)(N) mengakhiri Latihan Kerjasama Maritim semalam, siri baharu latihan tentera laut dua hala, yang diadakan buat julung kalinya.

Latihan selama empat hari itu membabitkan kapal frigat RSN ‘RSS Intrepid’ dan kapal peluru berpandu korvet ‘RSS Valiant’ serta kapal frigat PLA (N) Yulin.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan berkata latihan itu meliputi siri peperangan secara konvensional seperti penembakan meriam dan latihan taktik.

Anggota daripada kedua-dua tentera laut juga terlibat dalam perancangan latihan dan penggabungan latihan simulator daratan.

Ketika berucap pada upacara perasmian Rabu, Komander Armada RSN, Kolonel (KOL) Lew Chuen Hong menekankan mengenai pemantapan interaksi secara profesional antara kedua-dua tentera laut.

Beliau berkata kedua-dua tentera laut boleh belajar daripada satu sama lain dan memperluaskan pengetahuan profesional untuk mengukuhkan kepercayaan dan persefahaman bersama.”

Majlis itu dirasmikan bersama oleh Kol Lew dan Komander Armada Laut Selatan PLA (N), Laksamana Madya (RADM) Shen Jinlong.

Shen berkata, “Latihan Kerjasama Maritim mencerminkan matlamat dan kepercayaan bersama kami dan ia berupa pencapaian baharu dalam pertukaran dan interaksi antara kedua-dua tentera laut.”

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-25 terjalinnya hubungan diplomatik Singapura-China.

Latihan Kerjasama Maritim adalah penting dalam hubungan pertahanan dua hala dan mengekalkan momentum positif yang dicapai di bawah Kesepakatan Empat Perkara yang dipersetujui antara Menteri bagi Pertahanan Dr Ng Eng Hen dan Menteri Pertahanan Negara China, Jen Chang Wanquan semasa lawatan Dr Ng ke China pada November 2014.

ARTIKEL YANG SAMA