Akhirnya bebas

Akhirnya bebas

YANGON, 8 April (Reuters) –Kerajaan baru pejuang demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi hari ini membebaskan berpuluh-puluh orang aktivis dipenjarakan, hanya beberapa minggu selepas mengambil alih kuasa, dan presiden baru bersiap sedia untuk mengampunkan 100 lagi orang yang dihukum penjara atas kesalahan politik.

Ramai daripada penyokong dan ahli parti Suu Kyi, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) merupakan banduan politik di bawah junta yang menyerahkan kuasa dalam 2011 selepas hampir 50 tahun pemerintahan tentera. Suu Kyi sendiri menghabiskan masa bertahun-tahun dalam tahanan rumah dan mengatakan semalam bahawa membebaskan banduan politik berbaki merupakan keutamaannya.

Tuduhan ke atas sejumlah 69 orang aktivis pelajar dan penyokong digugurkan dan mereka dibebaskan dari penjara bandar Tharrawaddy, utara Yangon, kata Zaw Htay, seorang jurucakap di pejabat Suu Kyi. Pelajar dan sanak saudara berpelukan erat dan beberapa daripadanya mengibarkan bendera NLD sejurus selepas pembebasan mereka.

Ramai daripada mereka ditahan semasa satu bantahan ganas pelajar dalam Mac 2015 yang dileraikan polis. Presiden Htin Kyaw dijangka mengampunkan lebih 100 lagi orang yang dihukum penjara bagi jenayah politik, kata Zaw Htay. Tidak jelas sama ada tentera menyokong langkah ini. Angkatan bersenjata masih mengawal jawatan utama kabinet yang menyelia pejabat tempatan, undang-undang dan perintah serta keselamatan negara.

Aktivis pelajar yang baru dibebaskan dan keluarganya menangis selepas bersatu semula di bandar Bago, Myanmar. Sebuah mahkamah Myanmar berhampiran Tarrawaddy membebaskan berpuluh-puluh pelajar dipenjarakan, kelompok pertama tahanan yang dibebaskan selepas Aung San Suu Kyi berikrar membebaskan aktivis dan banduan politik dalam kerajaan barunya. – AFP
Aktivis pelajar yang baru dibebaskan dan keluarganya menangis selepas bersatu semula di bandar Bago, Myanmar. Sebuah mahkamah Myanmar berhampiran Tarrawaddy membebaskan berpuluh-puluh pelajar dipenjarakan, kelompok pertama tahanan yang dibebaskan selepas Aung San Suu Kyi berikrar membebaskan aktivis dan banduan politik dalam kerajaan barunya. – AFP

Amnesti Antarabangsa memuji pembebasan itu hari ini dan menyeru kerajaan membebaskan saki baki banduan politik dan memansuhkan undang-undang yang menggalakkan penahanan sewenang-wenangnya. Amnesti itu mengatakan sekurang-kurangnya lima pelajar berhadapan tuduhan masih lagi ditahan.

Aktivis yang dibebaskan adalah antara 414 orang yang berhadapan tuduhan politik di Myanmar, kata Bo Kyi, ketua pemantau hak asasi Persatuan Bantuan bagi Banduan Politik (Burma). Pembebasan masih lagi menyaksikan 47 orang dalam reman di penjara dan 298 orang dalam jaminan ketika berhadapan dakwaan.

Kerajaan baru mengangkat sumpah pada 30 Mac selepas NLD menang besar dalam pilihan raya umum dalam November. Suu Kyi sudah pun mengatakan beliau mahukan sebuah kerajaan perdamaian dan mengelak tuduh menuduh atas pemerintahan kejam tentera di negara itu. Namun ketegangan sudah pun menggelegak antara NLD dan tentera mengenai peranan Suu Kyi yang amat popular dalam kerajaan dan kuasa berterusan tentera.