Akhlak dan pe...

Akhlak dan persaudaraan dalam Islam

minda_logo indahnya Islam

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

SIRI 3

Perkara yang merosak hubungan persaudaraan

ISLAM melarang dengan tegas setiap individu memperlakukan segala bentuk akhlak yang tidak baik terhadap individu yang lain, di mana natijahnya akan menyumbang kepada keretakan hubungan sesama Islam dan akan menyebabkan perpecahan di antara umat Islam. Antara perlakuan yang mesti dihindari:

1. Hasad dengki:

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam melarang umatnya daripada segala sifat keji, di mana salah satunya ialah sifat hasad dengki.

Hakikat hasad dengki itu ialah rasa kurang senang terhadap nikmat yang dikecapi oleh orang lain, lalu mengharap-harapkan agar nikmat itu terhapus daripadanya. Larangan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam itu jelas sebagaimana sabda Baginda yang maksudnya, “Janganlah kamu saling benci membenci, dan janganlah kamu saling berdengki-dengkian, dan janganlah kamu saling bermusuh-musuhan. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hukum berdengki-dengkian itu adalah haram menurut ijma‘ (kesepakatan) umat Islam, kecuali hasad dengki terhadap nikmat-nikmat yang diperolehi oleh seorang yang derhaka kepada perintah-perintah Allah seperti orang fasiq dan kafir, lalu dijadikan nikmat itu untuk melakukan maksiat dan larangan Allah Ta‘ala. Maka dalam hal ini tidaklah dilarang bila seseorang itu mengharap-harapkan agar nikmat itu hilang daripadanya. Dengan tujuan supaya segala kemungkaran yang dilakukan akan terhenti dan tidak lagi berlarutan.

Menaruh perasaan dengki terhadap nikmat dan kesenangan yang dikecapi oleh seseorang, lalu dengan sebab itu menimbulkan kebencian terhadap orang itu, samalah seperti tidak menyukai dan tidak redha terhadap qadha’ Allah Ta‘ala dan ketentuanNya dalam melebihkan setengah hambaNya ke atas setengah yang lain. Sikap seperti ini tidak syak lagi tentulah mendatangkan dosa.

Kesannya terhadap hubungan sesama Islam pula, tidak syak lagi akan melemahkan dan merenggangkan ikatan persaudaraan tersebut, kerana tidak lagi wujud dalam perasaan dirinya rasa kasih sayang terhadap saudara Islamnya, malahan membencinya.

Akan tetapi tidaklah menjadi kesalahan jika sekiranya seseorang itu mengharapkan supaya memperolehi sesuatu nikmat yang serupa dengan apa yang dikecapi oleh orang lain, selama mana dia tidak mengharapkan atau bercita-cita agar nikmat itu lenyap daripada orang lain, dan dia juga tidak membenci kalau orang itu terus mengecapi nikmat itu. Hasad dengki jenis ini dikatakan sebagai al-ghibthah.

Dengki dalam erti kata al-ghibthah, jika sekiranya dalam perkara ketaatan atau kebaikan, maka ianya adalah sesuatu yang dipandang baik dari segi syara‘. Umpamanya, seseorang melihat saudaranya yang lain mempunyai harta dan membelanjakannya pada jalan yang hak, seperti bersedekah, menderma kepada anak-anak yatim atau sebagainya. Lalu dia bercita-cita untuk melakukan perkara yang serupa jika berkemampuan, maka dengki (al-ghibthah) dalam perkara seperti ini adalah sesuatu yang dipandang baik dari segi syara‘.

Jika sekiranya al-ghibthah itu pula dalam perkara yang mendatangkan dosa, maka ianya adalah dikeji. Umpamanya, seseorang melihat saudaranya yang lain mempunyai harta dan membelanjakannya pada jalan yang haram, lalu dia bercita-cita untuk melakukan perkara yang serupa jika berkemampuan, maka dengki (al-ghibthah) dalam perkara seperti ini adalah dikeji dari segi syara‘.

Jika sekiranya al-ghibthah itu dalam perkara yang diharuskan, maka ianya adalah harus.

Sehubungan dengan ini Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Tidak (dibenarkan) hasad dengki melainkan pada dua perkara, (iaitu): Seorang yang dikurniakan oleh Allah harta yang banyak, lalu dia menaburkan harta itu pada perkara-perkara yang benar, dan seorang yang diberikan oleh Allah ilmu, lalu dia mengamalkan ilmu itu serta mengajarkannya (kepada orang lain).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala menjelaskan bahawa maksud hadis di atas ialah, tiada dengki (al-ghibthah) yang terpuji melainkan dua perkara yang telah disebutkan di dalam hadis di atas dan perkara-perkara yang seumpama keduanya.

2. Menganiaya dan membiarkan saudara Islamnya dianiaya:

Perbuatan menzalimi atau menganiaya orang lain hukumnya adalah haram, apalagi jika yang dianiaya itu saudara Islamnya sendiri. Ini jelas sebagaimana diperuntukkan di dalam hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam, sabda Baginda yang maksudnya, “Seorang muslim adalah saudara kepada seorang muslim (yang lain). Tidak boleh menganiaya dan membiarkannya dianiaya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Menurut al-Imam Ibnu Hajr al-‘Asqalaani ketika beliau menjelaskan keterangan maksud hadis di atas, bahawa seorang muslim yang berlaku zalim atau membuat aniaya kepada seorang muslim yang lain hukumnya adalah haram. Dan tidak sepatutnya dia membiarkannya disakiti oleh orang lain atau membiarkannya dalam keadaan yang boleh menyakitinya. Bahkan hendaklah dia menolongnya dan mempertahankannya.

3. Tidak menegur sapa:

Seorang muslim yang tidak mahu menegur sapa dan memutuskan hubungan dengan saudaranya muslim yang lain lebih daripada tiga hari hukumnya adalah haram tanpa ada alasan atau keuzuran yang dibenarkan syara‘. Ini jelas sebagaimana diperuntukkan di dalam hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam, yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya:

“Tidak halal bagi seorang muslim memutuskan saudaranya (tidak menegur sapa) lebih daripada tiga hari; bila keduanya bertemu maka yang seorang ini berpaling dan yang seorang lagi membelakangi. Dan orang yang lebih baik dari keduanya ialah orang yang memulakan dengan ucapan salam. “(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jika sekiranya terdapat sesuatu alasan atau keuzuran yang dibenarkan syarak yang mendorongnya tidak menegur sapa, maka tidaklah menjadi apa-apa. Umpamanya, saudaranya itu telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syarak, maka harus dia tidak menegur sapa saudaranya itu sehinggalah dia bertaubat daripada perbuatannya itu. Hal ini adalah berdasarkan sebuah riwayat di mana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam tidak menegur sapa Ka‘ab bin Malik selama lima puluh malam disebabkan dia tidak ikut serta dalam peperangan Tabuk tanpa ada keuzuran, sehinggalah Allah menerima taubatnya barulah Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam menegurnya kembali.

Menurut al-Imam Ibnu Hajr Al-‘Asqalaani, bahawa dalam konteks menegur sapa untuk mengembalikan hubungan yang terputus, terdapat dua taraf kedudukan:

1) Taraf yang lebih tinggi (yang maksima): Iaitu menghindarkan daripada tidak bertegur sapa secara total dengan cara memberi salam, berbual-bual atau bercakap-cakap dan mengeratkan persahabatan melalui berbagai cara yang dapat dilakukan.

2) Taraf yang lebih rendah (yang minima): Iaitu menegur sapa dengan hanya memberi salam tanpa mengambil sebarang inisiatif yang lain untuk merapatkan kembali hubungan yang terputus.

Oleh itu, ancaman yang berat (berdosa) bagi sesiapa yang tidak berusaha untuk mengembalikan hubungan yang terputus dengan mengambil tindakan yang minima iaitu memberi salam.

Adapun orang yang tidak berusaha untuk mengembalikan hubungan yang terputus dengan mengambil tindakan yang maksima, jika pertelingkahan itu tidak membabitkan hubungan kaum kerabat (yang tidak mempunyai pertalian darah), maka tidaklah mendatangkan dosa.

Sebaliknya, jika pertelingkahan itu membabitkan hubungan kaum kerabat (yang mempunyai pertalian darah), maka yang demikian itu dikira sebagai memutuskan pertalian kekeluargaan.

Hukum memutuskan tali kekelurgaan itu adalah termasuk di antara perkara yang mendatangkan dosa besar.

Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya, “Maka jika kamu berpaling (daripada perintah Allah) tidakkah nanti kamu akan melakukan kerosakan di bumi dan memutuskan silaturahim dengan kaum kerabat kamu? Mereka itulah orang yang dilaknat oleh Allah, dan ditulikan pendengaran mereka serta dibutakan penglihatan mereka.” (Surah Muhammad: 22-23)

4. Menghina atau mengejek:

Yang dimaksudkan dengan penghinaan ialah memandang rendah atau menjatuhkan martabat seseorang, ataupun mendedahkan keaiban dan kekurangan seseorang dengan tujuan menjadikannya bahan ketawa.

Ini boleh berlaku dengan menceritakan perihal orang lain dengan tutur kata, perbuatan, isyarat ataupun dengan cara lain yang boleh membawa maksud dan tujuan yang sama.

Tujuannya ialah untuk merendahkan diri orang lain, menjadikannya bahan ketawa, menghina dan memperkecilkan kedudukannya di mata orang ramai.

Hukumnya adalah haram. Larangan menghina atau mengejek ini jelas dinyatakan di dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum mengejek-ejek satu kaum yang lain, boleh jadi kaum yang diejek itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula (satu kaum) perempuan mengejek (satu kaum) perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.” (Surah al-Hujurat: 11)

Termasuk di antara perbuatan menghina yang diharamkan itu ialah memanggil dengan panggilan atau gelaran yang tidak baik, yang tidak sedap didengar oleh orang yang kena panggil, di mana panggilan itu membawa kepada suatu bentuk penghinaan dan cemuhan.

Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya, “Dan janganlah kamu mencaci sesama kamu dan janganlah pula kamu panggil-memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan fasiq sesudah seseorang itu beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka mereka itulah orang yang zalim.” (Surah Al-Hujurat : 11)

Oleh itu, tidak sepatutnya seorang muslim berbuat jahat kepada saudaranya yang lain dengan memanggil atau menggelar saudaranya itu dengan panggilan yang tidak sedap didengar dan memalukan. Perkara ini tidak syak lagi akan menyakitkan hati saudaranya dan membakar api permusuhan sesama Islam.

5. Membocorkan rahsia:

Mendedahkan rahsia orang adalah di antara perkara-perkara yang dilarang, kerana perbuatan itu akan menyakiti hati orang lain dan tidak mengendahkan tentang kepentingan orang itu.

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya, “Apabila seseorang telah memberitahu sesuatu perkara, lalu dia pergi, maka itu adalah suatu amanat (tidak boleh disebarkan).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Oleh itu, membocorkan rahsia orang dikira tidak amanah. Ini adalah suatu pengkhianatan, dan mengkhianati orang lain adalah haram hukumnya, jika ianya boleh mendatangkan bahaya atau mudarat kepada orang itu. Kalau pun tidak mendatangkan bahaya atau mudarat, maka itu samalah seperti kita menghinanya.

6. Mengumpat:

Mengumpat adalah di antara seburuk-buruk kejahatan. Yang dimaksudkan dengan mengumpat ialah menyebut seseorang dengan sesuatu yang tidak disukainya, sama ada pada badannya, agamanya, dunianya, bentuk kejadiannya, perangainya, hartanya, anaknya, orang tuanya, suami/isterinya, pembantu rumahtangganya, serbannya, pakaiannya, gaya berjalannya, gerakannya dan sebagainya yang bersangkut paut dengan dirinya.

Tidak kira sama ada menyebut-nyebut itu dengan percakapan, tulisan ataupun dengan isyarat melalui mata, tangan, kepala atau sebagainya.

Hukum mengumpat itu adalah haram menurut ijmak seluruh umat Islam. Dalilnya adalah jelas tersebut di dalam al-Qur’an, Sunnah dan ijma‘.

Firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya, “Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Pengasih.” (Surah al-Hujurat: 12)

Allah Subhanahu wa Ta’ala mengumpamakan orang yang mengumpat saudaranya sendiri seperti memakan daging saudaranya yang telah menjadi bangkai.

Setiap manusia sudah tentu tidak mahu makan daging manusia. Apatah lagi daging saudaranya sendiri, dan daging itu pula sudah menjadi bangkai. Ini menunjukkan betapa buruk dan kejinya perbuatan mengumpat itu di sisi Allah Ta‘ala.

Bersambung minggu depan…

ARTIKEL YANG SAMA