Akibat cabul anak tiri

Akibat cabul anak tiri

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Tindakan seorang bapa tiri yang mencabul kehormatan anak tirinya mengundang padah apabila dijatuhi setahun penjara dan tiga sebat oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Lelaki yang namanya tidak dapat didedahkan itu turut dijatuhi tiga tahun penjara oleh Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Awang Badaruddin atas kesalahan mengambil dadah terkawal, methamphetamine pada 3 Mei 2016.

Tertuduh mengaku bersalah ‘melakukan perbuatan tidak bermoral’ itu terhadap mangsa dalam tiga kejadian berasingan sekitar Mac 2016 di rumah mereka di Kampong Ayer.

Mangsa yang kecewa dengan perbuatan bapa tirinya telah mengadu kepada ibunya namun perkara itu dinafikan oleh tertuduh.

Perbuatan tertuduh itu bagaimanapun terbongkar apabila saudara mangsa memaklumkan perkara itu kepada seorang doktor yang bertugas di Klinik Sungai Asam pada 3 Mei 2016.

pg01_161019_mahkamah-logo

Doktor itu kemudian membuat laporan ke Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak yang terus menjalankan siasatan, dan memberkas tertuduh pada hari yang sama.

Tertuduh mengaku mencabul kehormatan anak tirinya dalam tiga kejadian berasingan, dan mangsa ketika itu tidur di dalam bilik yang sama.

Pada tarikh yang sama, tertuduh diminta memberikan sampel air kencing yang kemudian diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Saintifik untuk dianalisis, dan hasilnya didapati mengandungi dadah. Tertuduh mengaku telah mengambil methamphetamine sebelum dia diberkas.

Tertuduh pada 4 Mei 2016 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan anak tirinya namun menukar pengakuan kepada bersalah selepas adegan drama yang menyaksikan ibu tertuduh yang berada di galeri awam mahkamah diperintahkan oleh Majistret Kanan untuk ditahan dalam sel tahanan mahkamah selama beberapa jam kerana mengganggu bukti kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Kamaluddin memaklumkan mahkamah bahawa ibu tertuduh telah berjumpa dan menghubungi mangsa, dan telah memintanya untuk menggugurkan dakwaan ke atas tertuduh.

“Ibu tertuduh juga akan membelikan mangsa barang jika mangsa menggugurkan dakwaan itu,” beritahu Timbalan Pendakwa Raya yang mengetahui perkara itu minggu lalu apabila menyoal mangsa. Timbalan Pendakwa Raya turut memaklumkan bahawa tertuduh juga didapati melanggar syarat ikat jamin di mana dia telah pergi ke rumah mangsa pada sambutan Hari Raya malah bermalam di rumah itu. Mendengar maklumat itu, Majistret Kanan bertanya kepada tertuduh yang berada di ‘kandang bersalah’ sama ada dia telah mengarahkan ibunya untuk pergi berjumpa dengan mangsa. Tertuduh memberitahu, dia hanya meminta ibunya untuk mengingatkan ibu mangsa supaya menyuruh mangsa menggugurkan dakwaan itu.

“Apa yang kamu buat adalah salah kerana antara syarat ikat jamin kamu ialah tidak boleh berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan saksi pendakwaan.

“Dengan mengarahkan ibu kamu untuk berjumpa mangsa adalah sama dengan kamu berhubung secara tidak langsung dengan mangsa,” tegas Majistret Kanan yang turut memerintahkan ibu tertuduh ditahan di sel mahkamah sebagai pengajaran kerana mengganggu bahan bukti dan saksi pihak pendakwaan.

Tertuduh pernah disabit atas kesalahan mengambil dadah pada 2009 dan pernah diperintahkan untuk menjalani skim pengawasan di Biro Kawalan Narkotik pada Januari 2010 namun tidak menamatkan skim pengawasan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA