Akibat cemburu, seorang warga Indonesia maut

Akibat cemburu, seorang warga Indonesia maut

ISKANDAR PUTERI, Johor, 5 Jan (Bernama) – Seorang lelaki warga Indonesia maut dipercayai ditikam rakan senegaranya dalam satu pergaduhan di Taman Sri Pulai, Kangkar Pulai, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supt. Noor Hashim Mohamad berkata siasatan awal mendapati kejadian bermotifkan cemburu antara mangsa berusia 35 tahun itu dengan suspek.

“Kami segera ke tempat kejadian apabila mendapat panggilan orang awam pada pukul 9 malam.

“Setelah sampai di sana, kami mendapati seorang lelaki terbaring terlentang dengan kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai kesan tikaman senjata tajam,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Noor Hashim berkata pihaknya segera menjejaki suspek di sekitar kawasan kejadian dan berjaya menangkap enam lelaki warganegara Indonesia sekitar 12:15 tengah malam hingga 1 pagi tadi
(5 Januari). Kesemua lelaki berusia lingkungan 25 hingga 36 tahun itu direman mulai hari ini sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan.

Beliau berkata pihaknya masih memburu seorang lagi lelaki warga Indonesia berusia 30 tahun yang dipercayai merupakan suspek utama kes berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA