Akibat guna pasport orang lain

Akibat guna pasport orang lain

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151008_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Dua warga Malaysia yang berdepan kesalahan di bawah Akta Imigresen, masing-masing dijatuhi hukuman penjara dan sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mohammad Yazit bin Sabagyo, 36, didakwa memasuki Brunei Darussalam pada 3 Oktober 2015 tanpa memiliki dokumen yang sah dijatuhi penjara tiga bulan dan tiga sebatan oleh Pemangku Majistret Kanan, Dayang Azrimah binti Haji Abdul Rahman.

Sementara Nur Era Kasmiran binti Kamis, 31, yang berdepan pertuduhan bersubahat dengan Mohammad Yazit pada 3 Oktober 2015 dengan menyediakannya pasport milik abangnya dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda $800 atau tambahan satu bulan penjara jika gagal membayar.

Selepas mendengar hukuman dijatuhkan, Nur Era Kasmiran merayu kepada mahkamah untuk hukuman penjara dikurangkan.

“Hukuman sudah dijatuhkan dan saya tidak mempunyai kuasa untuk mengurangkan tempoh hukuman tetapi tertuduh boleh membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi,” kata Pemangku Majistret Kanan. Pemangku Majistret Kanan membenarkan tertuduh untuk bertemu keluarganya di sel mahkamah selama 15 minit.

Pegawai Pendakwa Imigresen dalam kertas penuduhannya menyebut, kedua-dua defendan yang hendak menuju ke Miri berjaya melewati Pos Kawalan Kuala Lurah dari Limbang pada 3 Oktober 2015 sekitar jam 5:04 petang.

Ketika menyerahkan pasport di kaunter imigresen di Pos Kawalan Sungai Tujoh kira-kira jam 7:20 malam, pegawai yang bertugas mengesyaki pasport yang digunakan oleh Mohammad Yazit bukan miliknya apabila dia gagal menjawab nombor siri kad pengenalan dan tarikh lahir yang tertera di dalam pasport itu apabila ditanya. Siasatan mendapati pasport yang digunakan Mohammad Yazit merupakan kepunyaan abang kepada Nur Era Kasmiran.

Nur Era Kasmiran didapati bersubahat dan membenarkan Mohammad Yazit menggunakan pasport abangnya untuk pergi ke Miri dari Limbang.

ARTIKEL YANG SAMA