Akibat judi, pegawai polis Hanoi ditangkap

HANOI, 12 Mac – Vietnam telah menangkap seorang pegawai kanan polis yang bertanggungjawab menangani kegiatan perjudian haram dalam talian selepas dia dituduh mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian di negara tersebut.

Bekas ketua di ‘jabatan berteknologi tinggi’ di Kementerian Keselamatan Awam (MPS) dan pegawai kanan polis itu telah ditangkap ditengah-tengah usaha kerajaan memerangi rasuah.

Mejar Jeneral Nguyen Thanh Hoa, 60, ditahan pada malam Ahad di sebuah hospital di Hanoi semasa menerima rawatan perubatan, menurut laporan akhbar Tuoi Tre yang dikendalikan oleh kerajaan.

Dia sedang disiasat kerana ‘mengadakan aktiviti perjudian’ di wilayah utara Phu Tho, kata MPS dalam satu kenyataan kelmarin.

Hao juga telah dilucutkan jawatannya oleh Presiden Vietnam, Tran Dai Quang, bekas ketua MPS, kata kenyataan itu.

Laman web kerajaan mengatakan anggota polis lain mungkin telah mengambil bahagian dalam kegiatan itu, sambil menambah bahawa ia sebahagian daripada rangkaian antarabangsa yang melibatkan berjuta-juta dolar, menurut laporan tempatan.

Jabatan ‘berteknologi tinggi’ itu bertanggungjawab untuk menangani aktiviti haram dalam talian, termasuk penipuan dan perjudian haram.

Hoa mendapat perhatian apabila berjaya mematahkan aktiviti perjudian haram dalam talian, termasuk pada tahun 2012 apabila dia menutup beratus-ratus laman web dan alamat IP yang dikaitkan dengan pertaruhan haram bola sepak. – AFP