Akibat marah, rumah jadi mangsa

Akibat marah, rumah jadi mangsa

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mac – Seorang lelaki tempatan dijatuhi tujuh tahun penjara dan enam sebatan oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan kerosakan harta benda dan menyebabkan kebakaran pada sebuah rumah.

Hakim Haji Abdullah Soefri bin Pehin Dato Haji Abidin memutuskan hukuman itu ke atas Mohammad Shahrin bin Awang Zaini, 27, dan memerintahkan hukuman bermula 17 Mac 2016.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 15 Mac 2016 kira-kira jam 7:30 pagi di sebuah rumah di Kampung Bolkiah ‘A’ tertuduh mengadu kepada ibu angkatnya bahawa seseorang telah mengusik telefon bimbitnya dan turut mengadu bahawa salah seorang daripada jiran mereka mengintipnya melalui tingkap rumah.

Apabila ibu angkatnya memberitahu bahawa dia tidak tahu akan perkara itu, tertuduh terus memecahkan cermin di ruang tamu, memecahkan dinding kayu rumah dan membaling dua set televisyen ke perairan Brunei.

pg06_160322_mahkamah logo

Tertuduh kemudian mendapatkan pakaian ibu angkatnya, beberapa akhbar lama dan tilam sebelum meletakkan semuanya di atas sofa di ruang tamu. Dia kemudian menyalakan pemetik api dan membakar semua barang itu.

Melihat apa yang dilakukan tertuduh, ibu angkatnya terus memanggil jiran-jirannya untuk meminta bantuan di mana mereka telah membantu memadamkan api di ruang tamu dan menenangkan tertuduh.

Dua set televisyen itu, masing-masing dianggarkan berharga $600 gagal ditemui semula.

Tertuduh sebelum ini pernah disabit atas kesalahan menyebabkan kebakaran pada Oktober 2013.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi.

ARTIKEL YANG SAMA