Akibat mencuri di masjid

Akibat mencuri di masjid

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Seorang lelaki Malaysia yang dihadapkan ke Mahkamah Perantaraan di sini, semalam, mengaku bersalah atas pertuduhan merosakkan harta benda dan mencuri wang di tiga buah masjid di Daerah Temburong.

Mohammad Khairi bin Awang Shari, 23, didakwa melakukan kesalahan itu di Masjid Utama Mohd Salleh, Masjid Kampung Labu Estate dan Masjid Pengiran Haji Abu Bakar antara 11 dan 19 September. Kertas pertuduhan menyebut, tertuduh telah merosakkan tabung duit di ketiga-tiga masjid yang dianggarkan bernilai $820 dan telah mencuri wang di dalamnya yang berjumlah keseluruhan $151.

Siasatan mendapati tertuduh memasuki negara ini melalui Lawas dengan niat untuk mencuri di masjid-masjid Daerah Temburong.

Wang yang dicurinya akan digunakan untuk membayar bil dan juga membeli rokok. Tertuduh, bagaimanapun, berjaya ditangkap pada 25 September di sempadan ketika hendak meninggalkan negara ini.

pg06_151012_mahkamah logo

Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman di Penjara Jerudong dan menetapkan 17 Oktober untuk menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA