Akibat pakai jean ketat

Akibat pakai jean ketat

SYDNEY, 23 Jun (dpa) – Seorang wanita Australia dimasukkan ke hospital setelah seluar jean ketatnya menyebabkannya tidak dapat berjalan, demikian menurut satu laporan berita yang disiarkan hari ini.

Dia telah bercangkung dalam jean ketat ketika membantu saudaranya yang sedang pindah rumah, lapor akhbar Sydney Morning Herald.

Ketika dia berjalan pulang menerusi sebuah taman, kakinya terasa kebas dan dia tersungkur, kata pakar neurologi Dt Thomas Kimber.

“Tidak ada sesiapa yang tahu dia terjatuh dan dia terbaring di sana selama beberapa jam,” kata Kimber, juga penulis bersama artikel jurnal Neurologi, Pembedahan Saraf dan Psikiatri mengenai kes tersebut.

Dia berjaya merangkak ke jalan raya dan menahan sebuah teksi untuk membawanya ke Hospital Diraja Adelaide, di mana jean yang dipakainya dipotong, menurut laporan.

“Dia mengalami sindrom kompartmen,” jelas Kimber.

“Ia memutuskan bekalan darah ke otot kaki pergelangan, dan sebagai respons kepada keadaan itu, otot telah bengkak sehingga ia menekan pada dua saraf utama di bahagian bawah kakinya, dan mengakibatkan kelemahan dan rasa kebas di kakinya.”

“Dia benar-benar tidak sihat, dia perlu diberi titisan IV” untuk mengeluarkan sebarang protein berbahaya yang mungkin telah dibebaskan, kata beliau.

Otot yang bengkak bertambah baik dalam tempoh tiga atau empat hari, dan “dia boleh berjalan dengan bebas pada masa dia keluar dari hospital,” kata beliau.

ARTIKEL YANG SAMA