Akibat rasuah $20, mungkin tidak balik kahwin

Akibat rasuah $20, mungkin tidak balik kahwin

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Seorang lelaki India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan rasuah.

Anisur Rahman, 31, didakwa memberi wang rasuah berjumlah $20 kepada seorang anggota polis trafik di Jabatan Siasatan Kawalan Lalu Lintas pada 10 Disember 2014, kira-kira 9:30 malam.

Wang itu diberikan tertuduh sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang apabila tertuduh didapati melakukan kesalahan iaitu tidak mematuhi lampu isyarat trafik di kawasan simpang 4, Jalan Dato Haji Basir.

Dalam sebutan, Peguam Sheikh Noordin yang mewakili tertuduh memohon kepada mahkamah jika tertuduh dapat dibenarkan pulang ke negara asalnya kerana tertuduh ingin melangsungkan perkahwinan pada Ogos ini, dan memberi jaminan bahawa tertuduh akan kembali semula ke Brunei Darussalam untuk perbicaraannya.

Permohonan itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Haji Kamaluddin atas sebab tertuduh tidak mempunyai kepentingan bersama dengan Brunei Darussalam tambahan lagi dikhuatiri tertuduh akan menghilangkan diri.

Mahkamah turut menolak permohonan Peguam Sheikh Noordin yang mana Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menetapkan 29 Jun untuk sebutan semula.

ARTIKEL YANG SAMA