Akibat salah ...

Akibat salah guna kuasa

Oleh Fadley Faisal

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Bekas pegawai polis, Haji Khairur Rijal bin Haji Abu Salim yang sedang dalam tahanan, hari ini sekali lagi didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri bagi kesalahan rasuah.

Timbalan Pendakwa Raya Christopher Ng mendakwa Haji Khairur Rijal di Mahkamah Majistret dengan kesalahan menerima Toyota Hilux daripada Pengarah Urusan Say Koo (Liew) Sdn Bhd dan L & E Contractor, Liew Say Koo sekitar 2012 sebagai ganjaran untuk membantu Liew masuk dan keluar dari Negara Brunei Darussalam berulang kali antara tahun 2011 dan 2013.

Liew telah diusir dari Brunei dan tidak dibenarkan memasuki negara ini sejak 17 November 2007.

Defendan didakwa membuat permohonan-permohonan bagi pihak Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah kepada pengawal Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan menyatakan bahawa Liew diperlukan untuk membantu siasatan polis.

Kesalahan ini membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda sebanyak $30,000.

pg06_mahkamah-logo

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan kuasanya dan menerima Toyota Hilux daripada Liew yang mengetahui tanggungjawab rasmi defendan sebagai seorang pegawai. Kesalahan ini membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Peguam Roy Prabhakaran dari Yusof Halim & Partners mewakili Haji Khairur Rijal.

Ketua Majistret Muhammed Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli telah menetapkan 24 Januari 2017 bagi sebutan kes.

Liew, yang tidak mengaku bersalah atas dakwaan memberi rasuah kepada Haji Khairur Rijal, juga telah dihadapkan ke mahkamah hari ini namun tarikh perbicaraan bagi kes berkenaan belum ditentukan.

Haji Khairur Rijal telah didakwa atas kesalahan sama pada 2015 tetapi kemudiannya pihak pendakwaan menggugurkan dakwaan (‘nolle prosequi’) dan dilepaskan tanpa dibebaskan oleh mahkamah pada tahun yang sama.

Ini juga adalah apabila Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) campur tangan dan menahan Haji Khairur Rijal. JKDN mempunyai maklumat bahawa Penguasa Haji Khairur Rijal, bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah Berat di Jabatan Siasatan Jenayah terlibat dengan sindiket jenayah yang menjalankan aktiviti-aktiviti pelacuran dan perjudian serta membekalkan minuman alkohol di dalam dan luar negara.

Dia juga dipercayai memberi perlindungan dan membocorkan maklumat mengenai operasi-operasi kepada kumpulan-kumpulan jenayah berkenaan.

JKDN juga mendakwa bahawa Penguasa Haji Khairur Rijal menyalahgunakan kuasanya dalam mengawal dan mengarahkan aktiviti-aktiviti jenayah.

JKDN telah mendedahkan bahawa pegawai polis berkenaan telah membahayakan keselamatan awam termasuk keselamatan negara.