Akibat samseng, England dan Rusia berdepan penyingkiran

Akibat samseng, England dan Rusia berdepan penyingkiran

PARIS, 13 Jun (AP) – Samseng bola sepak telah kembali pada kejohanan Eropah dan mencabar pihak berkuasa Perancis yang bergelut untuk menangani peningkatan mendadak dalam keganasan.

England dan Rusia diancam dengan pengusiran daripada Euro 2016 oleh UEFA semalam jika berlaku keganasan lagi daripada penyokong-penyokong mereka ketika kejohanan itu. Perbalahan di antara samseng England dan Rusia memuncak selama tiga hari di pusat Marseille sebelum perkelahian dibawa ke dalam stadium pada Sabtu lepas.

Kesamsengan yang telah mencemar bola sepak Inggeris dalam tahun 1970-an, 80-an dan 90-an itu telah secara meluas dihapuskan daripada perlawanan-perlawanan domestik. Angka penangkapan pada perlawanan Inggeris telah secara jelas menurun pada abad ke-21. Terdapat sedikit sahaja masalah daripada penyokong England pada Piala Dunia 2006 di Jerman, kejohanan di Afrika Selatan 2010 atau Euro 2012, yang dihoskan oleh Poland dan Ukraine.

UEFA mengakui terdapat ‘isu-isu pengasingan’ di Stade Velodrome di mana Rusia dan England seri 1-1 dan berkata ia “akan mengimplementasikan langkah-langkah betul untuk meningkatkan pengerahan anggota-anggota keselamatan di stadium-stadium, dalam kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.”

Rusia, yang menghoskan Piala Dunia dalam masa dua tahun lagi, sudah berdepan penyingkiran UEFA selepas penyokong-penyokongnya disifatkan telah merancang untuk memulakan huru-hara di dalam stadium. Para penyokong Inggeris yang berada di salah satu gawang telah diserang selepas perlawanan itu apabila pihak berkuasa gagal untuk memisahkan kedua-dua musuh.

UEFA melahirkan rasa ‘jijik’ mengenai perkelahian yang melibatkan penyokong-penyokong England, Rusia dan Perancis yang telah bermula pada Khamis lalu di pusat bandar pelabuhan Mediterranean itu. Rusia telah dikenakan oleh UEFA atas kesalahan gangguan orang ramai, kelakuan perkauman oleh para penyokong dan memasang bunga api ketika perlawanan berlangsung. Badan disiplin UEFA akan menghakimi kes itu esok.

Sebarang amukan daripada penyokong Rusia dan England apabila mereka berpindah di utara Perancis bagi perlawanan mereka seterusnya berkemungkinan salah satu pasukan atau kedua-duanya disingkirkan daripada kejohanan.