Akibat tekanan jiwa

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Putus cinta dan bebanan hutang antara punca tiga kes kejadian bunuh diri yang mengejutkan masyarakat minggu lalu di mana ia melibatkan dua orang warga asing dan seorang remaja warga tempatan.

Sehubungan dengan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengongsi maklumat mengenai tiga kes bunuh diri dan dapatan-dapatan hasil daripada penyiasatan yang telah dijalankan.

“Ini adalah untuk memaklumkan kepada masyarakat mengenai ketiga-tiga kes agar perkara ini dapat sama-sama ditangani dan dielakkan daripada berlaku lagi selain itu juga untuk menjelaskan daripada spekulasi atau pun andaian-andaian yang telah dikongsikan melalui media sosial.”

Penjelasan itu dibuat oleh Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei, Penolong Pesuruhjaya Polis Pengiran Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid semasa sidang media yang berlangsung di Bangunan Jabatan Siasatan Jenayah, Gadong, hari ini.

Turut hadir semasa sidang media berkenaan ialah Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Penguasa Kanan Polis Haji Mohd Fadzillah bin Haji Ismail; Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Penguasa Polis Pengiran Haji Abdul Salam bin Pengiran Haji Abdul Ghani; dan Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis Suhairi bin Haji Sukri.

Pengiran Haji Mohd Jefri (dua, kanan), Haji Mohd Fadzillah (dua, kiri), Haji Abdul Salam (kiri) dan Awang Suhairi (kanan) semasa sidang media yang berlangsung di Bangunan Jabatan Siasatan Jenayah, Gadong.

Semasa sidang media berkenaan, Penguasa Polis Suhairi menerangkan bahawa dalam kes pertama, pada 14 Februari lalu, pada pukul 7:22 pagi, pihak polis telah menerima maklumat melalui talian kecemasan polis 993 mengenai seorang perempuan yang dijumpai mati tergantung di sepohon pokok di Kampung Kupang.

Beliau menjelaskan lagi bahawa mangsa adalah seorang perempuan warga Indonesia berusia 48 tahun, bernama Samiati yang bekerja di negara ini sebagai seorang pelayan restoran di Kampung Kupang, Tutong.

Siasatan mendapati mangsa telah menggantung dirinya sendiri menggunakan tali yang digantung ke pohon pokok di belakang tempat kerjanya. Siasatan ke atas rakan sekerja dan juga telefon bimbit mangsa mendapati mangsa mempunyai hutang yang tidak dapat dibayarnya. Ini telah memberi beban dan tekanan terhadap mangsa sehingga beliau mengambil jalan nekad mengakhiri hidup beliau dengan menggantung diri.

Sementara itu, kes kedua dan ketiga dijelaskan oleh Penguasa Polis Pengiran Haji Abdul Salam di mana dalam kes kedua melibatkan seorang kanak-kanak perempuan tempatan berusia 13 tahun. Kejadian telah dilaporkan pada 14 Februari 2018, pukul 9:50 pagi setelah menerima maklumat dari hospital selepas mangsa dibawa ke hospital oleh keluarga dan telah disahkan meninggal dunia.

Siasatan polis mendapati mangsa telah menggantung diri menggunakan cadar yang diikat ke kipas angin siling di dalam sebuah bilik di rumah mangsa. Hasil siasatan juga mendapati, mangsa bertekad membunuh diri kerana kekecewaan dalam percintaan. Perkara ini memang menyedihkan kerana ia melibatkan mangsa yang begitu muda.

Sementara kes ketiga telah dilaporkan pada 16 Februari 2018 melalui talian kecemasan polis 993 di mana seorang lelaki warga Indonesia bernama Sukar berumur 35 tahun telah didapati mencederakan diri dengan menyelar perutnya menggunakan pisau jenis paper cutter di tandas perempuan di tingkat satu sebuah bangunan membeli-belah di Gadong.

Beliau menjelaskan lagi bahawa semasa pihak polis datang di tempat kejadian, mangsa masih lagi dilihati mengerat-ngerat ususnya dan dalam keadaan lemah. Beliau terus dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Malangnya mangsa tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia selepas beberapa hari.

Penyiasatan ke atas rakan-rakan mangsa pada hari itu mengatakan mangsa tidak menunjukkan perangai ganjil cuma mengatakan mangsa tidak berapa bercakap dalam masa dua hari sebelum kejadian. Siasatan di tempat tinggal mangsa tidak mendapati apa-apa yang mencurigakan kecuali artikel yang dipercayai menyalahi akidah.

“Untuk makluman orang ramai, cuba membunuh diri adalah satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 309 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 yang membawa hukuman penjara sampai ke tempoh satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” tambah Penguasa Polis Pengiran Haji Abdul Salam lagi.

Manakala itu, dalam sidang media berkenaan, Penolong Pesuruhjaya Polis Pengiran Haji Mohd Jefri menyatakan hasil siasatan ke atas tiga kes mendapati masalah yang dihadapi oleh mangsa-mangsa telah menyebabkan tekanan perasaan dan jiwa sehingga mereka hilang kawalan diri dan mengambil keputusan termudah untuk keluar daripada masalah yang mereka hadapi.

Beliau turut mengongsi statistik empat tahun kebelakangan iaitu dari 2014 hingga 2017, Pasukan Polis Diraja Brunei mencatatkan sebanyak 35 kes bunuh diri iaitu sebanyak enam kes pada 2014, lapan kes pada 2015, lapan kes pada 2016 dan 13 kes pada 2017.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak lima kes iaitu 62.5 peratus pada 2017 berbanding tahun sebelumnya.”

Beliau menjelaskan lagi, 26 daripada 35 kes iaitu 75 peratus sepanjang empat tahun kebelakangan ini melibatkan majoritinya kaum lelaki iaitu 30 daripada 35 kes (86 peratus) berbanding kaum wanita.

Penilaian ke atas kes-kes berkenaan mendapati mangsa-mangsa telah mengalami tekanan hidup seperti hutang piutang, masalah rumah tangga dan berdepan dengan hukuman berat.

Secara keseluruhan, kadar mengikut nisbah penduduk bagi setiap 100,000 orang adalah di tahap rendah iaitu pada kadar 3.07 pada 2017 berbanding dengan negara-negara lain termasuk negara-negara jiran. Beliau menyatakan bahawa mengikut anggaran dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar bunuh diri di seluruh dunia adalah pada sekitar 11.5 bagi setiap 100,000 orang. Walau bagaimanapun bilangan kes bunuh diri masih di tahap rendah jika dibandingkan dengan negara lain dan kita tidak boleh mengambil ringan akan perkara ini.

“Pasukan Polis Diraja Brunei bersama agensi kerajaan yang lain termasuk pihak Kementerian Kesihatan, Jabatan Pembangunan Masyarakat dan juga seluruh masyarakat di Negara Brunei Darussalam hendaklah bekerjasama dalam sama-sama mengurangkan masalah atau menghindari daripada ia berlaku kepada orang yang kita kenali atau sayangi.”

Pada kesempatan itu juga, Penolong Pesuruhjaya Polis Pengiran Haji Mohd Jefri menyatakan beberapa saranan Pasukan Polis Diraja Brunei termasuk menyeru masyarakat di negara ini untuk bekerjasama dalam sama-sama mengenal pasti dan menangani mana-mana orang terutama sekali keluarga atau rakan yang menunjukkan tingkah laku yang menjurus kepada membunuh diri dalam juga untuk membawa mereka ke klinik-klinik perubatan yang berdekatan.

Di samping itu, menggunakan peruntukan yang ada di dalam Perintah Kecelaruan Mental 2014 yang mana membolehkan pemeriksaan dibuat ke atas mana-mana orang yang bercelaru mental tanpa adanya perintah mahkamah oleh ahli-ahli keluarga sendiri seperti kemurungan, tekanan jiwa dan sebagainya.

Menggesa ahli keluarga terutama ibu bapa untuk mengawasi ahli keluarga yang lain terutama anak-anak mereka dan mengambil perhatian kepada aktiviti-aktiviti yang mereka buat dan juga sentiasa memerhati perilaku dan keolahan mereka.

“Kerana jika ia dapat dikesan lebih awal mungkin ia boleh mencegah daripada perkara yang tidak diingini berlaku.”

Beliau menyatakan bahawa Pasukan Polis Diraja Brunei menyarankan bagi majikan pekerja-pekerja asing untuk menghantar pekerja mereka yang mungkin dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental untuk dirujuk di klinik-klinik berdekatan.

“Adalah penting juga bagi guru-guru untuk mengetahui tanda-tanda kemurungan penuntut-penuntut mereka supaya mereka boleh merujuk pelajar ke kaunselor sekolah untuk mendapatkan bantuan.”

“Dengan ini, guru-guru dapat bekerjasama dalam menangani kesihatan mental pelajar supaya mereka tidak terfikir untuk mengambil keputusan membunuh diri jika berdepan dengan masalah yang sukar untuk mereka tangani.”

Beliau juga menyatakan penekanan dan penghayatan agama dalam ahli keluarga itu amat penting dan mesti dititik beratkan serta tidak terpesong dengan ajaran-ajaran yang menyalahi akidah.

“Harus diambil kira juga saranan yang disampaikan memerlukan kerjasama padu daripada agensi-agensi, pihak-pihak berkepentingan serta masyarakat dari peringkat akar-umbi, badan bukan kerajaan (NGO) yang berkenaan untuk menangani kejadian membunuh diri negara ini.”