AKP menang besar

AKP menang besar

ANKARA, 2 Nov (AFP) – Rakyat Turki hari ini sekali lagi di bawah pemerintahan satu parti, selepas Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) meraih semula majoriti parlimennya dalam kemenangan besar pilihan raya yang mengukuhkan cengkaman kuasa Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Parti AKP yang diasaskan oleh orang kuat itu, yang telah mendominasi politik Turki selama berdekad-dekad, telah memenangi 49.4 peratus undi untuk meraih 316 kerusi dalam parlimen yang mempunyai 550 anggota dengan hampir kesemua undi dikira, dengan semudahnya cukup untuk membentuk sebuah kerajaannya sendiri.

Keputusan tersebut adalah kemenangan besar peribadi bagi Erdogan, 61 tahun, yang kini mungkin dapat meraih sokongan mencukupi bagi cita-citanya yang berkontroversi iaitu untuk meluaskan peranannya menjadi presiden eksekutif gaya AS yang berpengaruh.

Erdogan memberi isyarat tangan kepada penyokong selepas membuang undi pada pilihan raya perundangan Turki di tempat pengundian di Istanbul semalam. – AFP
Erdogan memberi isyarat tangan kepada penyokong selepas membuang undi pada pilihan raya perundangan Turki di tempat pengundian di Istanbul semalam. – AFP

AKP kehilangan majoritinya buat pertama kali di dalam tempoh 13 tahun pada Jun lalu, apabila Parti Demokratik Rakyat proKurdis (HDP) memasuki parlimen buat pertama kali. Konflik meningkat dengan minoriti terbesar Turki masih pencabar utama kerajaan baru.

Erdogan berkata di kalangan pengundi telah memilih ‘perpaduan dan integriti’ dalam ulasan pertama beliau selepas pilihan raya, meskipun para penganalisis mengatakan kemenangan mengejut beliau itu adalah sebahagian besarnya ekoran meningkatnya kebimbangan berhubung keganasan baru dengan militan Kurdis dan meningkatnya serangan berdarah pejuang jihad.