Akrab dan mesra

Akrab dan mesra

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Amir Kuwait, His Highness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, melahirkan perasaan amat berpuas hati dengan hubungan mesra dan baik yang dikongsi oleh Negara Brunei Darussalam dan Kuwait serta bersetuju untuk terus mengukuhkan lagi hubungan yang amat bernilai itu.

Semasa Majlis Mengadap yang berlangsung di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman hari ini, kedua-dua pemimpin mengukuhkan lagi usaha bersama menyokong perkembangan kerjasama ekonomi dan sosial di antara kedua-dua buah negara dengan meneroka peluang berkepentingan bersama seperti dalam bidang perdagangan, ekonomi dan pelaburan, minyak dan gas, pendidikan, pelancongan, teknologi maklumat, hubungan sektor swasta dan hal ehwal Islam.

His Highness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah berangkat tiba di negara ini petang ini bagi lawatan negara selama dua hari ke Brunei.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena lawatan negara itu, kedua-dua pemimpin turut mengalu-alukan peningkatan dalam perdagangan dua hala dan menyatakan terdapat potensi yang besar untuk mengembangkan hubungan perdagangan dan pelaburan supaya dapat mempromosikan pertumbuhan ekonomi kedua-dua buah negara.

Kedua-dua pemimpin juga mengambil maklum mengenai dengan matlamat bersama dalam mencapai kepelbagaian ekonomi dan mengenal pasti peranan sektor swasta dalam meningkatkan persaingan serta menekankan kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menyumbang kepada pembangunan mapan.

Baginda Sultan bersama His Highness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah  berangkat ke Majlis Santap Negara bagi meraikan lawatan negara   Amir Kuwait  serta rombongan ke  Brunei Darussalam.  – Gambar oleh Muiz Matdani
Baginda Sultan bersama His Highness Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah berangkat ke Majlis Santap Negara bagi meraikan lawatan negara Amir Kuwait serta rombongan ke Brunei Darussalam. – Gambar oleh Muiz Matdani

Dalam hubungan itu, Baginda Sultan dan His Highness Amir Kuwait mengalu-alukan penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Bersama bagi Kerjasama Teknikal dan Ekonomi yang akan diadakan pada 5 hingga 6 Disember nanti di Bandar Seri Begawan, bertujuan untuk mengenal pasti dan meneroka kerjasama yang lebih mendalam khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Kedua-dua pemimpin turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa termasuk hasil daripada Sidang Kemuncak Dialog Kerjasama Asia (ACD) ke-2 yang berlangsung di Bangkok, Thailand pada 9 hingga 10 Oktober lalu serta perkembangan terkini di rantau Timur Tengah dengan menekankan pentingnya untuk mematuhi Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencapai keamanan yang berpanjang bagi perjuangan Palestin.

Kedua-dua orang pemimpin turut membincangkan mengenai dengan situasi di Iraq, Syria dan Yaman di mana Baginda Sultan melahirkan perasaan penghargaan pada Kuwait yang menjadi hos kepada rundingan damai Yaman di bawah payung PBB dalam mencari penyelesaian politik.

Baginda Sultan turut memuji Kuwait atas sumbangannya di dalam bidang kemanusiaan serta menjadi hos kepada banyak persidangan penderma kemanusiaan bagi Syria.

Sebagai mengiktiraf peranan Kuwait dalam memelihara keamanan dan kestabilan, Baginda Sultan menyatakan sokongan Brunei Darussalam bagi pencalonan Kuwait untuk menjadi ahli tidak kekal Majlis Keselamatan PBB bagi tempoh 2018-2019.

Sementara itu, His Highness Amir Kuwait melahirkan perasaan penghargaan kehadapan majlis Baginda Sultan di atas layanan mesra yang diberikan kepadanya serta ahli-ahli delegasinya sepanjang lawatan mereka di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA