AKSE menang tipis 4-3

AKSE menang tipis 4-3

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – AKSE Bersatu terselamat daripada kebangkitan menarik Bakes FT di separuh masa kedua untuk menang tipis 4-3 sekaligus mencerahkan peluang kemaraannya ke pusingan kedua Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara 2015 selaku naib juara Kumpulan C.

Pada perlawanan yang diadakan di Kompleks Sukan Sungai Kebun itu, Awang Abdul Aziz bin Haji Hassan membawa AKSE Bersatu di depan dengan jaringannya pada minit ke-16 sebelum menggandakannya menjadi 2-0 oleh Mohammad Hussain pada minit ke-30.

Mohammad Hussain memastikan penguasaan AKSE Bersatu semakin kukuh dengan jaringan kedua peribadinya pada minit ke-33 untuk membawa jaringan 3-0 sehingga masa rehat.

Empat minit selepas rehat, Abdul Aziz merembat gol kedua peribadinya untuk terus memberi keselesaan kepada AKSE Bersatu dengan mendahului pasukan lawan 4-0.

AKSE Bersatu dalam laluan mara ke pusingan kedua setelah menang 4-3 ke atas Bakes FT.
AKSE Bersatu dalam laluan mara ke pusingan kedua setelah menang 4-3 ke atas Bakes FT.

Tetapi tiada sesiapa menjangkakan jaringan Haji Abdul Rahman untuk Bakes FT pada minit ke-51 menjadi pencetus kepada kebangkitan mengejutkan Bakes FT.

Roshiman kemudiannya menjadikan kedudukan 2-4 pada minit ke-78 dan keadaan menjadi semakin mendebarkan buat AKSE Bersatu apabila Zulkifli berjaya membolosi gawang AKSE Bersatu pada minit ke-88 untuk merapatkan jurang kedudukan kepada 3-4.

Pihak pengurusan dan pemain AKSE Bersatu menarik nafas lega apabila pengadil meniupkan wisel penamat tanpa ada lagi jaringan berjaya dihasilkan Bakes FT, sekaligus memberikan AKSE Bersatu tiga mata yang diperlukannya untuk kukuh di tangga kedua Kumpulan C dengan 9 mata, di belakang pendahulu, DSP United (15 mata).

AKSE Bersatu yang sudah menamatkan perlawanan peringkat kumpulannya kini hanya perlu menanti keputusan perlawanan di antara Plan Batu dengan Kilugus FC sebelum dapat mengesahkan kemaraannya ke pusingan kedua.

Atas kertas, hanya Plan Batu yang berupaya memintas AKSE Bersatu tetapi Plan Batu berdepan tugas yang sukar kerana perlu mencatat kemenangan besar iaitu berjarak lapan gol ke atas lawannya, Kilugus FC untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

AKSE Bersatu yang kini di tempat kedua dengan mengumpul 9 mata, 16 jaringan dan 11 bolos untuk catatan +5 perbezaan gol, sementara Plan Batu di tempat ketiga dengan 6 mata, 6 jaringan dan 8 bolos untuk catatan -2 perbezaan gol.

Bakes FT menamatkan kempennya kali ini di tangga kelima Kumpulan C dengan mengumpul 3 mata, 5 jaringan dan 13 bolos untuk catatan -8 perbezaan gol.