Akses Internet naik 50 peratus menjelang 2025

Akses Internet naik 50 peratus menjelang 2025

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Peratusan penduduk dengan akses Internet di negara-negara membangun dijangka meningkat kepada 50 peratus menjelang 2025 berbanding 34 peratus pada 2015, kata syarikat penyelidikan pasaran global, Euromonitor International.

Firma itu dalam laporan kajiannya yang bertajuk, ‘Strategi Untuk Berkembang ke Pasaran Membangun dengan E-Dagang’, berkata langganan Internet mudah alih di negara-negara membangun telah melonjak kepada dua bilion pada 2015 daripada 299 juta yang direkodkan semasa 2010.

China mewakili pasaran terbesar dengan 660 juta pelanggan, manakala Brazil, Indonesia dan Rusia secara kolektif mewakili jumlah pasaran melebihi 397 juta dalam 2015.

“Memahami bagaimana pengguna mengakses Internet adalah penting dalam membangunkan strategi e-dagang.

“Peruncit mesti memahami cita rasa pengguna dalam pasaran sasaran mereka, termasuk mengoptimumkan penggunaan peranti yang paling digemari pengguna serta penawaran opsyen pembayaran yang paling sesuai,” kata penganalisis penyelidikan kanan Amanda Bourlier.

Walaupun kadar peningkatan langganan Internet mudah alih melonjak tetapi, Euromonitor International, berkata kadar penembusan Internet di pasaran membangun ini memiliki perbezaan yang ketara.

Pada 2015, Emiriah Arab Bersatu (UAE) merekodkan angka tertinggi pengguna Internet iaitu pada 92 peratus, manakala penggunaan Internet di Mexico, Ukraine, Peru, Filipina dan Vietnam masih di bawah 50 peratus.

Pada 2010 hingga 2015, Chile, Rusia dan Argentina menyaksikan peningkatan penggunaan Internet di kalangan populasi yang terpantas iaitu daripada 40 peratus kepada 70 peratus. – Bernama