Akses mudah integrasi sistem GIS

Akses mudah integrasi sistem GIS

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Seramai 60 orang pegawai dan kakitangan dari 25 jabatan kerajaan di bawah enam kementerian menyertai Bengkel Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini, sempena Hari GIS Sedunia 2015.

Hadir melancarkan bengkel berkenaan, di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, hari ini, ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), di Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah.

Semasa menyampaikan ucapan, Haji Muhammad Lutfi antara lain menyentuh mengenai Geoportal Ukur yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, kementerian berhasrat untuk menyatukan Geoportal Ukur dengan jabatan-jabatan di bawah kementerian berkenaan khususnya, dan agensi-agensi kerajaan lain amnya untuk menubuhkan ‘National Spatial Data Infrastructure (NSDI)’ pada masa depan.

Dengan adanya integrasi ini, katanya, segala perancangan bagi kemajuan akan dapat dilaksanakan dengan mudah dan cepat dan jabatan-jabatan berkenaan yang berkepentingan akan dapat mengakses dan muat turun data-data yang diperlukan tanpa menggunakan kaedah tradisional.

Haji Muhammad Lutfi ketika berucap semasa bengkel sempena Hari GIS Sedunia 2015.
Haji Muhammad Lutfi ketika berucap semasa bengkel sempena Hari GIS Sedunia 2015.

Beliau seterusnya berkata, dengan adanya titik permulaan integrasi ini nanti, agensi-agensi berkepentingan yang lain disarankan untuk mengongsi data-data relevan untuk diintegrasikan dalam sistem ini bagi memudahkan agensi-agensi berkenaan untuk mendapatkan maklumat dengan mudah dan cepat, sekali gus bagi memudahkan pihak-pihak berkepentingan untuk membuat keputusan dalam kemajuan tanah.

Sementara itu, Pemangku Juruukur Agung, Haji Ali Bakar bin Haji Kasim, selaku pengerusi majlis, berkata Hari GIS Sedunia merupakan minggu kesedaran penggunaan maklumat geografi yang diadakan setiap tahun pada setiap minggu ketiga dalam bulan November, dengan tema tahun ini ‘Discovering The World through GIS’.

Bengkel kelolaan Jabatan Ukur ini memberikan tumpuan kepada jabatan-jabatan kerajaan dari beberapa kementerian yang dikenal pasti sebagai pengguna GIS yang berpotensi.

Ia dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu secara ‘hands-on’ dan sebanyak empat kertas kerja disampaikan oleh pegawai-pegawai Jabatan Ukur mengenai gambaran keseluruhan GIS, Brunei Spatial Data, Data Security dan GeoPortal.

Antara pegawai dan kakitangan dari 25 buah jabatan kerajaan di bawah enam kementerian menyertai Bengkel Sistem Maklumat Geografi (GIS).
Antara pegawai dan kakitangan dari 25 buah jabatan kerajaan di bawah enam kementerian menyertai Bengkel Sistem Maklumat Geografi (GIS).

pg04_151118_d

Haji Ali Bakar berkata, bengkel ini bertujuan untuk memberi kesedaran dan ilmu pengetahuan kepada pegawai-pegawai di jabatan-jabatan yang berkenaan tentang kepentingan maklumat geospatial yang dikongsi sama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain dalam membantu mempercepatkan proses kerja masing-masing dan meningkatkan sosioekonomi negara.

Menurutnya, semua peserta mendalami mengenai penggunaan sistem GIS untuk diaplikasikan dalam kerja harian di jabatan masing-masing.

Beliau melahirkan harapan agar bengkel ini akan dapat memberikan ilmu pengetahuan dalam bidang GIS kepada para peserta dan memberikan makluman serta cadangan kepada pihak pengurusan di jabatan masing-masing tentang kepentingan penggunaan GIS dalam mempercepatkan kerja harian di sesebuah jabatan.

Selain itu, secara tidak langsung para peserta bengkel dapat berkenalan dan berinteraksi dengan pegawai-pegawai Jabatan Ukur dalam memudahkan mereka untuk berhubung terus jika ada pertanyaan mengenai GIS pada masa akan datang, tambah beliau.

Turut hadir pada majlis pagi tadi itu ialah Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Awang Chua Peng Keong.

ARTIKEL YANG SAMA