Akses WiFi lebih meluas

Akses WiFi lebih meluas

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Telekom Brunei Berhad (TelBru) kini memudahkan lagi akses kepada perkhidmatan-perkhidmatannya dengan memperkenalkan perkhidmatan prabayar WiFi, memberikan akses lebih mudah kepada perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan sehingga 5mpbs bagi setiap peranti.

Pelanggan yang ingin menggunakan mana-mana perkhidmatan itu di lebih 80 lokasi WiFi TelBru kini dapat membeli pin prabayar mampu milik dalam talian dengan hanya menghubungkan peranti dengan rangkaian ‘TelBru WiFi’ yang akan membolehkan akses untuk membeli beberapa pilihan prabayar WiFi daripada $3 bagi ‘sehari tanpa had’, tiga hari akses bagi $5 dengan data 1GB dan; 500MB bagi tiga hari pada harga $3.

TelBru dalam kenyataannya turut mengumumkan rancangan untuk menawarkan kad prabayar gores yang dijangka diperkenalkan tidak lama lagi, menurut kenyataan yang dikeluarkannya di sini hari ini.

Bukan sahaja terhad kepada penduduk di negara ini, TelBru juga melebarkan perkhidmatan WiFi kepada pelancong-pelancong, membuatkan sambungan data mudah dan mampu milik ketika mereka berada di negara ini.

Kakitangan TelBru menunjukkan kad pra bayar gores 500MB bernilai $3 yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
Kakitangan TelBru menunjukkan kad pra bayar gores 500MB bernilai $3 yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Perkhidmatan WiFi ini terdapat di beberapa kawasan-kawasan komersial di seluruh negara sebagai penyambungan luas daripada Perkhidmatan TelBru Free WiFi dan Pasca Bayar WiFi.

Ketua Pegawai Pemasaran TelBru, Lim Ming Soon berkata, sebagai syarikat telekomunikasi utama di negara ini, TelBru berusaha untuk membangunkan produk dan perkhidmatan inovatif bagi memastikan ketersediaan dan pencapaian data melalui infrastruktur boleh dipercayai dan selamat.

“Perkhidmatan pra-bayar kami memberikan pilihan kepada pelanggan apabila kami cuba menandingi kemudahan jalur lebar di rumah, setara dengan di luar rumah sementara mengekalkan integriti perkhidmatan Internet TelBru,” tambah beliau.TelBru juga masih menawarkan akses Internet percuma selama 30 minit atau 500MB di seluruh lokasi TelBru WiFi, sementara itu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei mereka menyediakan akses Internet selama sejam.

ARTIKEL YANG SAMA